"Yang bercahaya tak semestinya emas, yang cantik tidak semestinya permata"
“Alia, Alia okay ke ni? Achik dah dengar dari Haqqan kelmarin masa dia chatting dengan Achik” Keesokan harinya selepas Subuh Achik sudah terpacul di muka pintu bertanyakan hal itu.
Rumah Achik dan Alia tidak berjauhan, masih di taman perumahan yang sama. Jadi bukan suatu kejanggalan untuk Achik membuat aksi ala-ala kunjungan surprise di waktu-waktu yang tak dibuat orang.
Alia senyap membatu. Tak tahu nak menjawab bagaimana. Mahu beri jawapan standard yang diharapkan, jawapan ikut nafsu atau jawapan yang sepatutnya muncul dari jiwa yang bersih? Nampak sangat lah ini belum menjadi akhlak yang sebenar-benar akhlak, sempat pula nak berfikir-fikir jawapan mana harus dipilih.
Tapi nak kata tak sabar, tidak lah begitu. Rasanya sabar saja. Tapi redho sampai semua yang terjadi tidak memberi bekas? Rasanya iman Alia tidak di situ. Jauh lagi.
“Achik amboi awalnya datang, gelap lagi ni. Bincang hal apa penting sangat ni pagi-pagi, macam hal penting saja, Kalau ya pun masuk lah dulu, Mak Usu buatkan air” Mak tiba-tiba muncul dari belakang setelah terdengar bunyi enjin motor Achik yang tidak dimatikan. Alia cepat-cepat mengisyaratkan jari menyuruh Achik tidak menumpahkan apa-apa rahsia dari mulut ramahnya. Namun sepantas kilat jugak Mak berlalu ke dapur.
Achik masih menunggu aku memberi satu jawapan tetapi aku memandangnya dengan pandangan kosong. Dia sengaja singgah di rumah selepas sembahyang Subuh di surau pagi itu. Pastinya dia risau. Manakan tidak, Achik adalah orang tengah yang digunakan Haqqan untuk merisik aku sebelum ini.
Achik jugalah yang bersalah mewar-warkan kehebatan Haqqan dalam berjuang menegakkan apa yang dipercayainya. Haqqan itu Haqqan ini..Haqqan kata itu Haqqan kata ini..Haqqan pergi forum tu Haqqan pergi forum ni..Haqqan nak pergi Mesir, Haqqan nak jadi seperti Sultan Muhammad Al Fateh lah, Haqqan nak jadi seperti imam itu ini lah... Semua ada. Ada-ada sahaja cerita Achik berkenaan Haqqan yang menjentik hati Alia untuk mengagumi Haqqan selama berkampung di Semesra sehingga ke UM. Semua salah Achik. Tak syak lagi.
Tetapi mungkin juga salah aku yang pemurah meminjamkan telinga, menjadi pendengar setia sepupu sesusuan yang telah aku anggap sebagai adikku sendiri. Salah aku kerana tersalah menapis cerita, yang patut dituras ke otak agar menghasilkan emas bernilai sebagai menguat semangat, terturas ke hati, membuahkan impian murni. Tak berapa nak murni sangatlah sebenarnya, saja lah buat ayat bagi nampak tulus.
Salahkah Achik bercerita tentang sahabat yang dicintai sebagai tanda mengagumi dan pada masa yang sama sebagai pembakar semangat untuk turut berpatah arang terjun dalam satu perjuangan yang pada hakikatnya adalah milik semua individu dan juga tanggungjawab semua orang?
Achik ibarat Robin yang sudah bertemu Batmannya, silapnya aku, cuba menjadi heroin yang mengorek kesemua cerita kesempurnaan Batman dari ‘sidekick’nya. Eh silap, aku tidak pernah mengorek cerita, langsung tapi cerita datang kepadaku, bagaikan dipanggil-panggil. Ah pastilah yang indah-indah belaka bila yang bercerita pun si Robin. Tetapi, mungkin juga ianya sememangnya indah. Wallau’alam.
Kenapa aku kata aku tak tahu indah atau tidak. Sebab aku bagi aku, di zaman sekolah Haqqan seorang pelajar kelas Sains Tulen yang kononnya berkaliber, Muazzin tetap, kaki surau, Biro apa entah..Aku memang tidak ambil pusing kerana tidak ada keperluan dan aku di kelas Teknikal.
Tetapi cuba bayangkan situasi ini. Dari tingkatan 4 sehingga habis pengajian ijazah di Universiti Malaya, hanya cerita enak berkenaan dengan Haqqan sahaja yang dihidangkan dan disuntik perlahan-lahan meresapi otakku oleh Achik merangkap rakan sekelas Haqqan. Mana mungkin aku menjadi daud keladi yang tak lut air. Ini adalah fitrah semula jadi. Ya, manusia sentiasa mahukan sesuatu yang baik. Tidak salahkan aku juga mengimpikan yang baik setelah aku belajar apa itu baik?
“Mmm…Achik, masuklah dulu, kita makan nasik lemak. Nantilah kita cakap pasal ni.” Kata Alia, akhirnya melemparkan sebaris senyuman tawar.
Achik berpuas hati dengan jawapan pendek itu dan cepat-cepat mematikan enjin, turun dari motorsikal EX5 lama itu dan tunduk mengikut Alia yang masih bertelekung ke dalam rumah.
Ketika kecil, Alia tinggal dengan Mak Ngah, ibu kepada Achik. Mak Ngah ni makcik Alialah, kakak kepada Mak. Mak Ngah tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa. Jadi memandangkan Mak memang wanita bekerja dari zaman dulu-dulu lagi, Mak Ngah lah yang menolong menjaga Alia baik-baik, sampai gemuk, macam anak sendiri.
Hari-hari sebelum pergi kerja mak akan pack semua barang-barang dalam beg kain yang tertulis ‘Alia Punya’ dan hantar aku ke rumah Mak Ngah. Agak best juga lah sebab pagi-pagi dah kena bawak jalan-jalan naik kereta pergi rumah Mak Ngah. Bila sampai saja, Mak Ngah akan sambut depan pintu rumah macam tuan puteri. Masa tu jugak, anak-anak Mak Ngah akan beratur saja di tepi pintu pagar yang dah senget tu untuk tengok si Alia datang dahhh…
“Aliaaaa….Aliaaaa…”Abang Long akan mencubit pipi aku yang tembam sambil buat muka geram sebab tengok baby girl yang comel lagi suka senyum. Hakikatnya mana ada baby yang tak comel. Tak begitu? Mungkin jugak dia dah bosan tengok si baby boy yang dalam rumah dia orang tu.
Abang Long, anak sulung Mak Ngah selalu akan jadi ‘porter’ yang akan ‘angkut’ semua barang-barang aku macam lampin, tin susu, bekas air masak botol-botol susu yang Mak dah letak dalam satu bakul lain. Lepas tu, Abang Ngah akan bawak beg ‘Alia Punya’ masuk dalam. Abang Lang selalu tak ada sebab dia suka main, Ateh pun hilang sebab dia akan pergi main dengan Abang Lang dan Achik pulak akan berdiri di tepi pintu rumah buat muka tak puas hati sebab perhatian mak dia dah beralih dekat aku.
Anak-anak Mak Ngah semua hero belaka, jadi sebab tu lah aku jadi macam Tuan Puteri bila Mak Ngah jaga aku. Achik tu pulak anak Mak Ngah yang bongsu sama umur dengan aku, jadi agak senang lah menjaga sebab ada baby yang sama umur lagi satu.
Keluarga Mak Ngah memang sangat rapat dengan keluarga kami bukan sahaja sebab Mak adalah adik kepada Mak Ngah tapi jugak sebab Mak Ngah dah menyusukan aku dari kecil. Kiranya aku dengan anak-anak Mak Ngah dah jadi pangkat serupa abang, adik lah. Itu yang sampai ke besar boleh melawak lebih kurang bertengkar tarik rambut.
Achik sekolah sama dengan Alia, dari taski, sekolah rendah, sekolah menengah, matrik sampailah ke Universiti Malaya. Seakan-akan tertakdir menjaga satu sama lain kan? Tapi begitulah yang tersurat. Achik pun tak ada saudara perempuan, Alia pula anak bongsu, tidak berteman sebab kakak dan abang sebelumnya jarak umurnya agak besar.
Namun, hikmah sebenar yang dapat difikirkan dengan akal sependek ini berkenaan terhadiahnya Achik dalam hidup Alia ialah Achik ibarat satu cermin istimewa kurniaan Tuhan dari syurga buat Alia. Mereka mungkin berkongsi rasa, cerita dan masalah, mungkin juga banyak menerbitkan persamaan dari segi tingkah bicara dan hobi semasa, kecenderungan dari segi agama dek kerana ditarbiah di rumah yang sama, tetapi Achik mempunyai buah fikiran lelaki yang diperlukan Alia untuk menegurnya dikala terleka menjaga tatacara seorang wanita, mengimbangi sifat emosinya yang kerap berubah-ubah ke sana ke mari, meluahkan pendapat dengan jujur untuk tujuan membaiki, memuji apa yang manis dan elok tanpa iri, sekaligus membantu membentuknya menjadi seorang perempuan yang agak kukuh jiwanya tetapi sederhana perilakunya selain pandai membawa diri.
“Alia, Achik rasa Alia redhokanlah Haqqan tu ya. Haqqan tu mungkin baik tetapi itu bukan yang terbaik untuk Alia. Achik yakin Allah akan menghantarkan orang terbaik tu untuk Alia, insya Allah. Tapi kena sabar lah, ” Riak muka Achik masih kelihatan serba salah ketika dia duduk di meja makan merenung bungkusan nasi lemak yang tak terusik.
“ Achik pun tak tahu kenapa jadi macam ni. Tapi nak disalahkan Haqqan pun, Achik ralat. Ibarat menyalahkan pokok yang mati di musim kemarau padahal tidak ada kuasa pun, pokok itu menghalang kematiannya sendiri..” ujar Achik lagi.
“Pokok matilah pulak. Sudahlah Achik nak berfalsafah lagi, Robin ni. Alia tak pa-apa.” Alia cuba menceriakan keadaan, cuba mengubat hatinya yang belum aman dari sentakan kuat semalam. Jika hati ini bumi, nescaya berita semalam itu mungkin kiamat kecil berupa tsunami yang menggegarkan seluruh pelosok dunia dengan amukannya.
“I’m okay, cuma Alia rasa tak best dengan reason dia, itu sahaja. Buat Alia rasa sedih.” Kata Alia. Jiwanya masih memberontak.
Lama terdiam Achik, mungkin memikirkan kata-kata terbaik yang mahu diluahkan kepada sepupu tersayang sebagai penyembuh luka dihati. Kemudiannya dia bersuara perlahan “…apa ada pada alasan, ianya cuma hiasan sebuah ketentuan, yang telah kering penanya kukuh sebagai suratan,”
And he is 100% right.