Tuesday 22 November 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 6] - Kak Nasuha

Petang itu hujan lebat membasahi bumi Kuala Lumpur. Alia masih termanggu-manggu kegelisahan melihat jam yang sudah semakin pantas meninggalkannya. Sudah dekat pukul 6. Hari ini dia ke fakulti dengan kereta Ruqaiya.Minggu ni giliran kereta Ruqaiya untuk membawa mereka ke tempat kerja. Lebih menjimatkan kos, juga menyumbang sedikit sebanyak bagi mengurangkan kesesakan baik di dalam UM ataupun di tengah bandaraya, apabila mereka beransur pulang nanti. Sudah hampir 3 tahun tahun dia bekerja di sini di fakulti Sains.

Di luar jendela, Alia memerhati anak-anak muda mahasiswa berlainan jantina berpasang-pasangan berpayungan. Ada yang berpayung menuju kenderaan. Sesekali tertawa manja bertepuk tampar seakan-akan tiada apa. Ada yang lebih ‘indah’, terus berpayungan sehingga di bangunan kolej kediaman. Melepaskan sang kekasih di persimpangan jalan, ada riak-riak resah di wajah mereka. Barangkali berat berjauhan dengan si cinta hati. Lantas lambaian lembut sarat berisi cinta dilepaskan bebas diudara. Sang dara tersenyum manja membalas lambaian mesra si teruna. Jiwa seharusnya ketika ini berbunga-bunga. Kembang mengisi kapilari darah yang mengembang dan menguncup. Belum mahu bergerak, biar kaku, biar saat ini terakam dalam bayangan perasaan, biar ia terbuai buat bekal mengingati si cinta bila jauh bersendiri. Biar bayang-bayang si puteri hilang, benar-benar ghaib dari pandangan barulah hati di putera terasa terpanggil pergi. Lalu si lelaki melangkah longlai, pulang menuju kolej kediamannya. Oh tapi hati, penuh, dilimpahi cinta. Lantas dia tersenyum mengatur langkah sarat dengan jiwa yang parah. Romantis bukan?

Romantis begini diambil dari kitab mana ya? Kitab buku-buku novel cinta yang ditulis manusia. Persoalannya apa benar manusia-manusia yang menulis ‘kitab cinta’ buat rujukan manusia lain betul-betul faham erti cinta? Benarkah itu cinta? Segala perasaan menggila yang merenggut segenap penjuru perasaan yang ada? Cinta itu apa? Ketenangan? Entah. Yang pasti, dia sangat yakin, bukan seperti apa yang baru disaksikannya!

Di saat-saat ini dia teringat kata-kata Kak Nasuha ketika ditanya apa perasaannya menikah dengan orang yang berbadan gempal, berkulit gelap dan rendah darinya, Abang Fauzy. Bukan niat hendak merendahkan fizikal lelaki itu tetapi, memang tidak pelik keputusan Kak Nasuha menikahinya dipersoalkan, sebabnya Kak Nasuha itu cantik betul. Cantik sangat rasanya, wajahnya bersih, hish setenang air di kali orang Melayu cakap, percakapannya halus, di hadapan lelaki tak berbunyi terus. Jalannya sentiasa merendah, sedikit menunduk, sopan tetapi tidak melintok liuk, tak pernah pula sengaja mempamer-pamerkan diri tetapi harumnya bunga disimpan-simpan tercium juga. Sekali pandang asyik nak pandang lagi, itu baru pandangan perempuan. Kalau lelaki entah lah!

Teringat satu ketika Kak Nasuha menerima surat layang menyuruhnya memakai purdah, dari lelaki sekuliah. Kuat juga iman Kak Nasuha kalau difikir-fikir kerana tak pernah pula dia melayan sesiapapun. Kejutan bagi semua rakan-rakan serta adik-adik junior ketika diberitahu dia akan bernikah dengan Abang Fauzy mahasiswa Phd Mathematik. Iya lah kewarakkannya, dan kecerlangannya di bidang akademik tidak dipertikaikan tetapi ada saja pinangan lain rasanya setaraf dari segi warak dan akademik tetapi lebih ‘menjamu mata’ contohnya Harun Ar-Rasyid, pelajar Master Chemical Engineering yang aktif berpersatuan, Saiful Haqq anak Professor Halim, Dekan Fakulti kami. Kalau tak pinang pun risikan lain, contohnya Si Yusuf Qardawi, fakulti Kimia, Syed Hassan Al-Jefri, Fakulti Undang-Undang, Tan Hee Chul tau nama Islamnya Ahmad Yassin lelaki Vietnam yang berkelana mencari ilmu di Malaysia juga tidak ketinggalan menghantar risikan. Siapa lagi ya, haa Muneer Mazlan, lelaki playboy berfizikal gaya ustaz juga tersenarai, Oh ya Si Muhammad Abduh! Rakan sekelas Kak Nasuha yang akhirnya diketahui sebagai penghantar surat misteri menyuruh berpurdah kerana terlepas cakap kepada sepupu si Husna. Siapa lagi ya, ramai sungguh, ops! Ini semua aku ketahui daripada mulut rakan sebilikku ketika itu, Husna yang rapat mendengar kisah-kisah Kak Nasuha daripada kakak angkatnya Kak Ummi Kalsum, kawan baik Kak Nasuha. Itu baru senarai yang diketahui umum, belum lagi yang cinta dalam hati, baru memasang angan-angan atau masih berfikir-fikir. Pokoknya memang banyak yang menepuk dahi tatkala kad kahwin Kak Nasuha dengan Abang Fauzy tersebar, entah berapa yang menangis di bantal atau bermimpi bukan-bukan di malam hari itu atau terhiris hati. Tetapi itu bukan soalnya kerana bagi Kak Nasuha, dia yakin sekali Abang Fauzy jodohnya. Keyakinan seperti inilah yang membuat kami mengagumi dia.

Kata Kak Nasuha “Sebagai manusia kita semua pening mencari-cari erti cinta pada hakikatnya. Nah di sini datangnya Rasulullah merungkai keserabutan, kepayahan dan kesesakan hati kita dalam menafsir perkataan cinta. Kerana jika kita sendiri mahu mendefinikan cinta, nescaya tidak berdaya, kerana ianya terlalu agung. Lalu diberi juga jawapan supaya kita belajar bercinta dari Sang Pencipta sendiri. Biar Yang Lebih Tahu segala rahsia lekuk, celahan, rekahan hati yang mengajari yang memberi definisi.“Katakanlah (Muhammad) “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang “ –(3:31) . Dan Abang Fauzy datang dengan cara paling tepat berbekalkan agama dan akhlak yang mantap. Itu semua bulat mengikut tekapan model cinta yang diajari Rasulullah.”

Terpegun juga kami mendengarnya. Rakanku Husna sampai ternganga menata cerita Kak Nasuha, barangkali teringat kisah-kisah zaman Rasulullah yang hubungan hablumminannas-nya tulus kerana Islam dan tidak berpaksikan rupa. Subhanallah. Menurut Kak Nasuha juga, lagi pula, ketika melihat wajah Abang Fauzy pada pertemuan pertama di rumah Kak Nasuha ketika meminangnya, ditemukan ketenangan dan keredupan dari tompokan gelap kulitnya. Baginya wajah itu tidak ada cacat celanya, sangat bercahaya. Aku lihat ketika itu Husna sahabatku terkekeh, mungkin kerana dia sedang memikirkan kejernihan hati Kak Nasuha dalam melihat keindahan ciptaan Allah berbekalkan suluhan iman. Aku tahu dia sedang membandingkan kejernihannya hatinya dengan Kak Nasuha. Katanya perlahan ke telingaku jika, dia, pasti sahaja memerlukan ‘torch light’ buat tolong suluh untuk sampai melihat keindahan Abang Fauzy. Nakal Husna ni. Aku cuma mencubitnya agar dia tidak lagi memberi komentar bukan-bukan.

Ketika aku mendengar kata-kata Kak Nasuha, aku, Husna, Zulaika dan Farah masih budak hingusan, budak sekolah baru terlepas dari pagarnya. Kira-kira umur ,kami 18 tahun, iaitu ketika kami mula-mula menjejak kaki ke Pasum, matrikulasi UM. Aku faham kenapa Farah dan Zulaika turut menahan tawa ketika mendengar cerita polos Kak Nasuha. Belum pernah terlintas di benak mereka cerita sedemikian rupa. Bagaimana gelap dikata cahaya? Bagaimana yang orang lain rasa jelek dipandang tak apa.

Kak Nasuha hari ini membawa satu santapan rohani berresepi asing buat mereka. Aku pula, ini bukan yang pertama, kerana Abang Achik sendiri, Along yang badannya sangat gempal beristeri cantik bak bidadari turut bernikah di bawah cara berkonsep Islami sedemikian. Dan bila di tanya, ceritanya juga lebih kurang begini. Tetapi setakat itu sahaja. Mungkin kerana aku selalu mendengar ini daripada pandangan adik ipar lelaki yang bertuah beristerikan perempuan cantik tetapi hari ini, lain rasanya mendengar kisah ini daripada pandangan si perempuan itu sendiri. Lebih ‘real’ dan ‘berat’ jika tiada kekuatan jiwa. Malah bukan calang-calang orang boleh melakukannya. Aku yakin iman juga harus mantap dalam menjadi manusia seyakin ini!

Lagi pula ketika itu jiwa aku masih ada sedikit coretan-coretan kisah cinta monyet rakan-rakan yang disaksikannya di zaman sekolah sungguhpun aku tidak terlibat sama, jadi apa yang aku dengar kubiarkan sahaja. Namun pertemuan kerap dengan Kak Nasuha, fasilitator Kerohanian pada malam orientasi, merangkap pelajar tahun akhir di situ sedikit sebanyak menjadi titik tolak aku mencuci hati dari segala kesalah-fahaman aku tentang agama dan seterusnya memantapkan apa yang sedia kufahami.

Daripada pertemuan pertama Alia, Husna, Zulaika dan Farah dengan Kak Nasuha dan rakan-rakannya yang lain yang mana semuanya baik-baik, mereka seperti bertemu tempat berteduh yang lama dicari-cari daripada insan bergelar kakak. Dari situ mereka mengenal majlis ilmu, menjadi wajah-wajah lazim aktiviti berorientasikan agama dan lain-lain yang selari dengannya. Kak Nasuha juga pandai mengatur pertalian, jadinya walaupun setelah dia habis belajar di situ, kami tetap diamanahkan kepada kakak senior lain yang tak kurang baiknya di situ agar sentiasa berada di dalam ukhwah dan selesa berhalaqah.Cara ini sungguh berkesan kerana kami menemukan kasih sejati dalam dakapan ukhwah sesama sendiri. Semua masalah dikongsi dan senang di rasai bersama.  

Akhirnya alih-alih kami sendiri bertindak seperti Kak Nasuha ketika adik-adik di tahun seterusnya datang menghuni ‘rumah UM’ tercinta. Namun Universiti Malaya sememangnya pusat ilmu yang menjadi inti darah dagingnya. Boleh dikatakan Alia yang hari ini, adalah hasil tarbiah berkelana di UM lah. Sebab itulah, daripada awal dulu, dia tidak pernah terfikir akan tempat lain untuk menabur budi, mencari rezeki selain di ‘bumi’ ini.

Hmmm rindu pula pada Kak Nasuha. Apa khabar dia agaknya
.
Di dalam rintikan hujan dan kereta yang merangkak-rangkak ibarat semua di luar cermin tingkap cube-nya, Alia nampak kereta Persona, Ruqaiya mengensot perlahan-lahan mengharung bonggol-bonggol jalan mendekati persimpangan fakulti. Lafaz hamdallah dilepaskan sambil melihat muka jam yang kini sudah mendekati pukul 7 malam. Dengan cepat Alia mengutip barang-barangnya yang berselerakan di atas meja tulis dan dengan pantas dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Sesampainya dia dibawah dia melalukan kad elektroniknya di mesin kedatangan sebelum keluar daripada bangunan. Ketika itu Ruqaiya sudah hampir sampai betul-betul di depannya.

“Assalamualaikum!” ujar Alia pendek sambil masuk ke dalam kereta.

“Waalaikumsalam, sori lambat Alia. Saya terlekat dalam jam lah tadi ada accident” ujar Ruqaiya

“Takpa la Uya! Eh kita nak balik rumah dulu ke macam mana ni? Nak maghrib di mana. Dah lewatlah”

Ruqaiya melihat jam di tangannya seraya dia terus membelok ke Jalan Melati, menuju ke Rumah Seri Impian dengan niat membayar janji yang telah mereka setujui, bukan semalam, tetapi sejak 3 tahun lalu.

Tuesday 1 November 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 5] - Bulu Mata Dinasour

“Tak ada yang lebih jernih dari suara hati, ketika ia menegur kita tanpa suara.Tak ada yang lebih jujur dari nurani di saat ia menyadarkan kita tanpa kata-kata” Salim A. Fillah

Pagi itu mereka bertiga keluar awal dari rumah kerana Alia mahu ke Kompleks Kailan membeli tudung sebelum berkelana pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspress. Achik memandu kereta Wira gangsa arwah ayah Alia di hadapan dengan Mak dan Alia membatu di tempat duduk belakang seperti biasa, berangan-angan kisah-kisah kompleks yang berlaku di dalam hidupnya sambil memerhatikan pekan kecil Kepala Batas. Senyap-senyap dia mengira-ngira warna tudung dan bilangan tudung yang dirancang hendak dibelinya.

Hari ini, rencana mereka agak panjang. Mujurlah Achik yang bekerja di Bank Islam memang tak bekerja pada hari Ahad, boleh lah tolong menghantar Alia dan ibunya ke sana ke mari. Tetapi rutinnya sememangnya hampir selalu begitu setiap minggu. Ada sahaja barang yang terlintas hendak di beli sebelum pulang ke Kuala Lumpur, seakan-akan semua barang kena dicari di kampung halaman juga. Sejujurnya Alia lebih selesa, keluar bertemankan ibu dan Achik, lebih selamat; daripada bersesak-sesak seorang diri atau hanya dengan Ruqaiya, rakan sekerja merangkap house-matenya di sekitar Kuala Lumpur.

“Alia nak beli lima tudung!”tiba-tiba dia terjerit kecil dari belakang.

“Banyaknyaa! Nak buat berniaga ke apa tu?” Achik memuncungkan mulutnya dari hadapan. Mak cuma mendengar ‘adik-beradik’ palsu mula berceloteh.

“Hihi apa la Achik, kalau nak berniaga Alia beli seratus terus!!!” Alia masih leka membilang-bilang dengan jemarinya tudung-tudung yang sedang rancak menayangkan ‘slideshow’ di fikirannya. Umpama ‘slideshow’ yang sedikit rosak, terkadang tudung berwarna sama terulang-ulang pula.

“Itu lagi mengarut! ” Achik membelok kiri ke Kompleks Kailan apabila mendekati bangunan 4 tingkat itu sambil tergelak kecil mendengar nombor seratus itu disebut seumpama sedang bercerita tentang angka sa.

“Alia nak beli untuk kawan dekat tempat kerja lah. Dia pun teringin nak pakai tudung bawal size ni tapi susah nak jumpa di Jalan TAR, selalu tudung kecil-kecil dan kontot-kontot saja yang ada” tegas Alia.

“Hah??Tudung bawal tu apa?” tanya Achik.

“Ishk kamu ni Achik macam ni ni namanya tudung bawal lah. Takkan tak tahu” Mak yang dari tadinya diam sudah membuka mulut menarik-narik hujung tudungnya nak dijadikan contoh kepada Achik. Pening kepala agaknya mendengar ‘budak-budak’ dua orang bercerita.

“Mana Achik tahu. Kan adik beradik Achik semua lelaki, Mak Usu pun, Alia ni sajalah kawan Achik yang perempuan, tak ada siapa pun kawan perempuan mana-mana nak ajar Achik tudung bawal yang mana tudung keli, siakap yang mana… ” ujar Achik mematikan enjin. Sengaja di buat nada-nada soleh lagi berbunyi alim supaya Alia sakit hati dengan kata-katanya.

“Eleh, mak tengok Achik buat-buat innocent,di bank tu berlambak kawan perempuan agaknya! ”

“Eh betul lah! Alia nih, di bank kalau kena bercakap pun pasal kerja sahajalah, mana ada saja-saja nak bergossip tak tentu hala pasal jenis tudung, Tak seswaii~haha!!” kata Achik tersengih membetulkan-betulkan kopiahnya yang senget sebelum keluar daripada perut kereta.

Achik masih sama macam di zaman Universiti lah! Terjaga! Alia tersenyum sendiri.

“Sudah-sudah tu. Turun kereta. Jom. Nanti bergaduh dalam kereta, lambat beli tudung, lambat pergi Tesco, kena tinggal bas pastu mula lah jadi macam-macam..Sudahh..JOM!!!!” kuasa veto Mak ternyata melemahkan watak-watak dinasour kecil dua ekor yang baru mula hendak menunjukkan taring dan tanduk masing-masing. Anak-anak dinasour yang mulanya lain rona air muka tiba-tiba bertukar identiti menyarung topeng manja dan patuh. Dengan pantas mereka menurut perintah dan sekelip mata sudah berada di luar kereta memimpin tangan Mak yang sudah berkedut keuzuran melintas jalan.

Ah pemandangan yang indah! Dinasour soleh dan solehah barangkali!
……........

Selesai memborong tudung, mereka bergerak balik ke Sungai Petani. Achiklah yang paling beriya mahu singgah di tesco kerana katanya ada komponen computer yang nak diteliti harganya. Mak dan Alia hanya mengikut kehendak ‘driver’ tidak bertauliah itu. Lagipun kata Mak, elok juga jika singgah di situ supaya dapat Alia melapik perut dan menjamah apa-apa makanan sebelum jadi meloya di buat bas ekspress sekejap lagi kerana perut kosong.

Setelah ditinjau-tinjau di ‘food court’ ternyata, tidak ada yang membuka selera kecuali air coklat yang di letakkan ice-cream dan serbuk coklat, harga RM4.50. Okaylah tuu. Achik pula, setelah meninggalkan Alia dengan Mak di ‘food court’ ghaib di sebalik manusia-manusia yang giat berjual-beli. Pantas!

Mak dari tadi hanya menghenyakkan diri di atas kerusi ‘food court’ keletihan. Mak dah tua, tahun ni usia Mak dah 68 tahun, kata Mak yang menguatkan Mak untuk mengharung lautan manusia ke tempat-tempat yang langsung tak sesuai untuk orang seusia dengannya hanyalah Alia. Sayang betul Mak dengan Alia, anak bongsu Mak. Sebetulnya boleh saja, Mak lepaskan Achik atau mungkin Sakeenah sahaja yang menghantar Alia atau meneman Alia membeli barang-barang keperluan. Tapi Mak mahu meneman dan bersama-sama anak bujangnya se-selalu mungkin. Rindu katanya seminggu berjauhan.

Abang Rasyid Ridha dan isteri, Kak Rabiah jarang pulang sebab mereka berkampung di Pahang. Tambahan pula anak-anak dah besar-besar, Qayyum, Rahmah, Mustafa dan Adli jadi untuk pulang ke kampung sahaja sudah menggamit kerjasama, penyatuan cuti dan pengorbanan kesemua anak-isteri yang berbeza-beza jalan komitmen. Kak Mastura pula tenggelam timbul sesuka hati mengikut cuti abang Firman sebagai bekerja sebagai tenaga pengajar di Unimas. Kalau tiba-tiba berkursus muncullah di rumah, kalau tidak memang tak nampak batang hiudnglah. Jadinya Alia sahajalah masih setia menjadi buah hati pengarang jantung Mak setelah Ayah tak ada. Sebab itu, untuk Alia, Mak gagahkan diri.

‘Mak Alia nak pergi Popular sekejap, nak beli buku. Mak tunggu sini sekejap saja ya. Itu Popular depan ni saja Mak. Mak tak larat kan? Rasanya Achik ada dalam situ jugak. Nanti Alia panggil dia sekali’

‘ Okey, Lia belikan Mak buku amalan sunat bulan Rejab sama, carilah mana-mana yang tak kecik sangat tulisannya’
…………………

Solehuddin merayau-rayau tanpa arah meneliti rak-rak tidak bernyawa itu. Buku-buku yang berwarna-warni di pandang kosong. Bukan minatnya. Membaca majalah bolehlah mengenai Superbike, gadget, atau technology baru, nak baca buku cerita, sajian berat sang pemikir? Bak kata Ustaz Kazim ‘Taubatt la Homm!!!’

Melihat buku-buku membibitkan sesak di dada dan meletihkan minda. Tidak semena-mena rasa terpanggil pula rindu pada PS3 di rumah bujangnya. Oh terbayang-bayang gambaran manusia berlari sambil dikejar penembak cekap. Nak balik rumah cepat! Berjihad di alam maya!

Pappp!!! Buku di tangan seorang gadis terjatuh ke lantai. Gadis berkurung putih berbunga halus dan bertudung ungu muda itu bingkas duduk mengutip buku. Cepat-cepat dia menyapu-nyapu permukaan kulit buku itu dengan tapak tangannya, takut kotor agaknya.

Solehuddin yang dari tadi hanya bermain-main menyelak-nyelak buku yang tidak terliur di hati hendak dibacanya, separuh menoleh melihat si penjatuh buku. Wajahnya tidak kelihatan, dan tak penting pun. Gadis itu masih tunduk tetapi…dari pandangan separanya, Solehuddin tiba-tiba terhenti. Ada sesuatu yang kini mematri pandangan itu daripada beralih. Yang pasti, dalam kecamukan hati dan kepantasan nano-saat,hatinya telah bulat berkeputusan untuk menunggu wajah itu mengangkat dagunya.

Yang terkait kemas, melilit pandangan Solehuddin dan yang membisik di hatinya agar dia menunggu adalah……..bulu mata si penjatuh buku!! Ya bulu mata!

“Ya Allah hitamnya bulu mata, panjangnya macam penyapuuu!” detik hati kecilnya.

Serta-merta Solehuddin berpura-pura berganjak ke tepi rak agar terlindung dirinya disebalik buku-buku. Iya lah nak tengok orang mana boleh depan-depan, tak macho lah jatuh ego, kena sipi-sipi sahaja gayanya, mat rempit sahaja tengok directly sambil cakap “Hai Kak Long…bley berkenalan? Assalamualaikumm,..haa jawab gatal tak jawab berdosa” tak ke confusing tu?

Kalau di dalam filem akan ada babak-babak yang dirasakan kacau daun atau ‘bikin geram’, anti-climax atau pemati mood. Contohnya ketika hantu Pontianak yang rambutnya mengerbang menggila mengejar anak dan ibu, tatkala mereka hampir-hampir berjaya melarikan diri mendekati cahaya matahari, anaknya tiba-tiba berkata ‘Mak, Amin nak kencing, sekarang jugak jugak’, atau pun babak, pencuri sedang cuba sedaya upaya melepaskan diri dari kawalan polis, mereka hampir terlepas daripada kejadian yang mendebarkan itu, pencuri tu tiba-tiba tersepak tin kosong yang tadinya dibuat isi batu oleh sang polis, kita sebagai penonton akan merasa sangat tertekan dan mungkin sahaja ada yang akan menjerit ‘Arrrghhhhhh hampeh’ walhal kita sepatutnya berkomplot menyokong polis, disebabkan mereka adalah antagonis cerita yakni geng baik, geng hero, ini tidak, tiba-tiba sahaja perasaan pencuri mekar mengembang di dalam dada. Maksudnya kita sedang mendalami hati si pencuri!! Persis!! Mendalami mende nye?

Ini lah yang terjadi kepada Solehuddin, baru beberapa saat dia teruja dengan bulu mata lebat si penjatuh buku, watak jahat muncul dan memijak-mijak dan mematikan angan-angannya yang tadi terbang tinggi menari-nari di awan harapan. Tetapi Solehuddin sendiri kurang pasti apakah benar dia antagonis kisah ini atau protagonist yang tertipu dengan niat di hati sendiri. Apa-apa sajalah!

“Laaaaaahhh Pak aji mana pulakk niiiii menggatal kat siniii. Ah bodoh..” meleret gumaman Solehuddin semunculnya protagonist berwajah bersih itu. Solehuddin masih terus berpura-pura menggerakkan anak mata berlari-lari disekitar buku yang tidak lekat dikepala mindanya itu di saat lelaki berkopiah muncul tiba-tiba berbicara sesuatu dengan si bulu mata lebat. Di kala itu tiba-tiba si bulu mata lebat memukul perlahan lelaki protagonist berkopiah dengan buku tadi sambil berkata sesuatu dan ketawa kecil.

‘Hampeh’ bisik hatinya…tapi

Masya Allah, manisnya tenangnya wajah…..isteri orang! Sekilas Solehuddin terus berlalu dan berjalan-jalan ke lorong lain jauh daripada aksi manja suami isteri pukul memukul.

Digelengnya kepala perlahan, mungkin tertanya-tanya apakah yang merasuk mindanya tadi, ‘Mengarutnya, what the heck, bodoh betul.’ Tiba-tiba dia terasa bodoh dengan perbuatannya tadi. Ini mesti tempias kenduri Black tadi. Kena minum air Yasiin balik rumah ni agaknya. Pak Andak pantas didekati dan diajak cepat keluar dari situ.

“Dah beli belum, jomlah cepat, aku sakit perut ni. Kang melabur kat sini naya je.” Ntah kenapa dia menipu. Yang pasti hatinya meronta-ronta mahu pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Di saat itu dia teringat babak filem KL Menjerit ketika Rosyam Nor menjerit ‘Kuala Lumpur aku aku cabar kauuuuuu’ sambil bergaya di atas motor rempitnya~ parah kau Soleh suungguh parah!

Lambat dia menyedarinya, tapi sebenarnya hari itu dia telah disihir bulu mata seekor dinasour!!!!

Friday 21 October 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 4] - Solehuddin

“You know you're in love when you can't fall asleep because reality is finally better than your dreams.” - Dr Seuss

Solehuddin laju keluar dari perut kereta sambil bingkas menanggalkan cermin mata hitam berjenama Oakley-nya. Sempat dia mengerling cermin tingkap keretanya yang hitam dikerjakan kedai ‘tinted’ untuk melihat dirinya sebelum menyerbu ke rumah kenduri. Meon, Hussin dan Pak Andak pun sama melompat. Tak sabar rasanya nak menyakat Black yang akan menikah hari ini. Mereka yang berkongsi kereta mengembara ke utara tanah air tadinya di dalam kereta sudah puas meneka-neka seputih mana muka Black akan jadi pada hari ini di samping merancang untuk mengenakannya habis-habisan.

“Bior biru muko hitam Black dek sogan kono sakat!!” kata Meon lalu disambut dekah ketawa yang menyesakkan satu kereta.

Tatkala menjejak kaki di rumah banglo kayu jenis lama yang tersergam indah di tengah sawah padi itu, mereka terus menuju ke ruang tengah rumah di mana Black sedang dipakaikan baju melayu oleh Pak Su-nya dan ternyata Black kelihatan gugup dan belum siap untuk acara pernikahan.

“Ehhh..hampa mai jugak” ujar Black yang baru sedar kehadiran mereka.Terharu agaknya, adik-beradik lain ibu lain bapa datang juga ke Merbok walaupun kesemuanya bekerja jauh di ibu kota Kuala Lumpur. Masing-masing menjangkau tangan dari jauh untuk bersalam-salaman dek kerana terhalang dengan kelibat Pak Su si Black.

“Black! Hensem teruknya hang harini… Pinau mata aku tengok hang dari jauh tadi ha, bukan apa Black serinya lain macam” Solehuddin menepuk-nepuk belakang Black yang kacak bergaya mengenakan songket merah emas. Di sisi hadapan, Pak Su kepada Black yang agak lembut perwatakannya sibuk membetulkan ‘bunga’ pada kain sampinnya. Pak Su Black hanya mengerling, tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala melihat anak saudaranya disakat kawan-kawan dari zaman sekolah yang masing-masing datang dari jauh untuk menyaksikan hari bersejarah teman baik mereka.

“….seri sebab pertama kali nampak hang putihhh sejak aku kenal hang, hahaha! Tapi putih tang muka saja la, leheaq colour lain tangan pun colour lain, Pak Su lupa nak tempek bedak kot ni” bergema mereka ketawa sehingga membingitkan suasana. Dengan Pak Su-Pak Su di sakat sekali.

“ Dak aih sungguh, aku dok ingat Rooney dah tadi, mai dekat baru perasan, Ahmad Yusuf Ropi’ie rupanya tu pun sebab cam tang gigi taring buruk hang yang sebatang tu kalau tadi Black senyum pekup mulut, pakai dok ingat Rooney sampai ke sudah dah” sampuk Pak Andak bersahaja mengaitkan dia dengan pemain bola kesukaannya. Mereka ketawa lagi. Terbayang di ingatan Solehuddin bagaimana Black selalu mengaku dirinya Rooney terutamanya jika mereka bermain futsal atau menonton perlawanan bola Manchester United tatkala berkumpul. Bagai nak pecah perut menahan senak ketawa yang sudah lama dirindui kerana sudah lama tidak bersua muka.

“Ah sudahlah hampa semua ni. Mai bukan nak doa bagi aku tak ketaq, dok bagi aku kalut lagi ada la” Black ketawa kecil membalas asakan mereka. Sekurang-kurangnya lawak jenaka mereka mengurangkan resahnya yang tak henti-henti cuba membayangkan kengerian saat menggoncang tangan ‘Tok Kadi’.Allahu Akhbar~ ngilunya.

“Pandai merajuk hang la ni Black, ui mentang-mentang nak menikah satgi.Jadi sentimental manja-manja. Teruk ni, dengan kita pun si Rooney ni jadi penyakit manja dah Hussin oi.Geli~”

Hussin, lelaki dari Pahang, kecil bertubuh kurus yang kurang bercakap lebih banyak bertindak sebagai pendengar setia dan tukang gelak, hanya ketawa kecil.  

Hari itu, setelah berjaya menikahi pasangannya, Sumaiya, yang dikenalinya melalui laman facebook, Solehuddin terlihat akan satu sisi watak pada diri Black yang selama ini tidak dia kenali. Walaupun gugup dan berpeluh bagaikan baru selesai mendaki gunung Kinabalu, Solehuddin dapat menyerap perasaan bahagia dan tenang yang menusuk masuk ke hati sahabat baiknya itu di saat dia bersalaman dengan Sumaiya. Senyumannya juga serasa lain. Bukan pada manisnya kerana Black semenangnya manis orangnya, tapi mungkin pada kepuasan dan harga keikhlasan senyuman itu. Senyum syukur barangkali?

Aneh. Sungguh aneh. Hanya hari ini Solehuddin seperti baru menangkap kedewasaan Black ‘partner in crime’ nya dari zaman sekolah menengah. Ah mungkin kerana lama tidak jumpa, mungkin kerana sisi halus ini tidak pernah dipertontonkan kepada kawan-kawan yang rata-rata merapu dan gila-gila lagaknya. Di saat dia memimpin tangan Sumaiya, Black kelihatan yakin sekali. Bukan keyakinan seorang Romeo yang gembira kerana berjaya memperagakan Julietnya. Tetapi ini ternyata keyakinan dan kematangan seorang suami yang tahu tanggungjawab besar yang digalasnya juga seorang lelaki yang bersedia memikul segala susah senang wanita di sebelahnya seumur hidupnya.

Tragis sekali perasaan ini. Apa ni Solehuddin? Tak rock betul. Sentimental pula dekat majlis Black. Entah-entah dah sampai seru!

 “Terima kasih lah sebab hampa semua mai kenduri aku” ujar Black bersalam-salaman di saat Solehuddin dan kawan-kawan mahu mengundur diri dari majlis walimahnya.

“Ya lah Black. He he he selamat belayar di lautan tidak bertepi, eh silap Black pulak, abang Mat Chup” Meon cuba menyakat pasangan pengantin baru itu. Sumaiya hanya tersenyum simpul memerhatikan gelagat kawan-kawan suaminya.

Selesai bersalaman mereka cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Merbok, sambil diiringi lambaian Black dan isteri dari kejauhan.Semakin jauh, bayangan mereka semakin kecil dan akhirnya menjadi titik dua titik merah yang sangat kecil sebelum menghilang di sebalik jalanraya. Sungguhpun bayangan mereka telah menghilang, kata-kata Black kepada Solehuddin tatkala dia duduk-duduk sebentar bersamanya tadi terus melekat di dalam hati.

“Kahwinlah Yeh. Bila lagi hang nak kahwin. Dah 28 umur hang. Nanti-nanti kalau kawan-kawan tak dak dekat-dekat dan hang boring tak dak orang nak teman pi karaoke, ada gak orang nak teman tengok bola, tolong lompat sama time MU bubuh gol!Haha Orang tolong masak kat hang ka. Dak pun peringat suruh hang bangun sembahyang Subuh Haha” ujar Black menanggalkan tanjak di dahi yang sudah lencun dibasahi peluh.

“Nantilah, nak rilex-rilex dulu. Tak dak pun awek cun-cun kat company tempat aku kerja. Ada comey-comey cute-cute nanti aku sendiri berasa nak kahwin la kot. Takkan nak cari kat facebook macam hang kot. Hang ni dah memang takdir namanya.” Jawapan itu meluncur laju dari mulut Solehuddin sambil memerhatikan gadis-gadis yang lalu lalang di majlis kenduri Black. Boleh tahan cuma tak memikat hati.

Sungguh, kahwin tidak pula terlintas difikirannya pada masa ini. Hidupnya buat masa ini sudah agak lengkap. Bukan lengkap dengan suri di hati, tetapi lengkap dengan kesibukan di tempat kerja, dengan banyak outstationnya dan hobi bermain videogame yang semenangnya menggila. Nak kahwin, ya. But not now.

“Ya lah tu.ikut hang lah. Tapi nanti kalau raya kesian, hang naik kereta balik kampung sorang-sorang, aku tangkap gambaq raya dengan isteri!!!” Bersinar biji mata Black bercerita.

“Podah, wei hang baru saja kahwin tadi kot dah nak berlagak dengan aku dah.Hantu btui!”

Raya.Best juga ada isteri kan? Nanti boleh tolong mak buat kuih raya! Sepintas ingatannya berpindah kepada emak dan adik-adik di kampung yang masih belajar ada yang di sekolah dan ada yang sudah di Matrikulasi. Oh rindunya sudah lama tak pulang ke kampung halaman.

“Yeh, kita nak pergi mana ni. Balik hotel, lepas tu terus balik KL ke macam mana ni?” Meon yang tadinya rancak bercerita dengan Pak Andak tiba-tiba bertanya.

“Ermm..kita balik hotel rehat-rehat jap kemas barang. Lepas tu, pergi la makan kat shopping mall mana-mana ka. Pastu shoot balik KL la. Cemana okay?” Solehuddin mencadangkan.


“Alright boss!!” serentak suara parau mereka berseru!

Kalau ada isteri jawab “Baik abang” best jugak ni. Ahh mengaruttt Solehuddin!

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 3] - Alia & Sakeenah

Hidup ini bukanlah jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan ada kalanya disirami air mata dan juga darah - Hamka  

Pagi Sabtu yang indah itu fikiran Alia merawang jauh. Mata bundarnya membulat tepat ke tingkap sisi kereta. Pandangannya bebas.Kadangkala Alia kelihatan seakan-akan melihat sesuatu, namun kadangkala pandangan itu tembus entah ke mana.

Kotak-kotak padi yang hijau menguning menghias indah perjalanan dia dan Sakinah ke pusat pengajian pondok di utara tanah air itu. Landskap sawah bendang sememangnya mempunyai sihir tersendiri. Melihat akan ia membawa satu perasaan damai dan selamat yang tak terbicara dengan kata-kata. Mungkin juga ianya mengingatkan kita tentang perasaan suci seperti mana bumi yang pada fitrahnya dihadiahkan kepada kita oleh Tuhan sebegini rupa.

Otak Alia ligat meneliti, mencari-cari memori-memori, bingkisan kenangan yang tersisa yang mana jika ada susuk tinggi lampai lelaki itu turut termuat di dalamnya.

Sejujurnya tidak ada kenangan-kenangan tipikal ala-ala lagak drama Sembilu Kasih, atau Romeo and Juliet. Tiada. Mereka bukan begitu. Dulu di pusat pengajian tinggi, mereka juga tidak pernah bergurau manja, saling berbalas lirikan mata atau kata-kata kiasan yang membuahkan maksud yang tersimpan. Tetapi mungkin juga kerana semua itu tidak tercatat dalam lembaran kenangan di hati Alialah, yang membuatkan ia begitu mengusik jiwa dan istimewa. Susah nak dilupa.

Ya, kerana ianya satu kisah bersih dan polos dua manusia jarang sekali berbicara, ada peluang terlihat masing-masing di kejauhan dewan kuliah yang besar, terserempak sekali-sekala itupun dilarikan cepat-cepat anak mata, tetapi menjadi sebuah ceritera yang berharga di saat lelaki itu merisik dirinya. Indah bukan?

Seingat Alia, jika ada tentang dirinya yang mungkin membuat Haqqan turut percaya yang mereka patut bersama dalam mengharung dunia, mungkin ada pada ketajaman fikirannya, kejujurannya dalam berkata-kata meluah rasa terutama di podium debat terbuka atau hanya kerana jiwa beragamanya? Entah, dia sendiri tidak tahu.

Sudah tidak penting sebenarnya. Tidak penting ibarat poster-poster pilihanraya yang masih berkibar megah memenuhi jalanraya tatkala keputusan pilihraya sudah terumum sebaliknya. Jadi, mengapa fikir? Jawapan: Kerana tidak tahu di mana harus membeli pemadam magis yang boleh memadam kenangan atau mungkin juga memadam harapan yang masih bergantungan di tali-temali doa.

Wahai hati, lepaskanlah harapan itu.

Tetapi perlahan, semuanya seakan kabur dan meresap di dalam udara apabila kata-kata Mak semalam terngiang di fikirannya, “Tak apalah Alia sabar nak, apapun biarlah bukan Alia yang buat dekat orang…” kata-kata Mak terhenti di situ, kemudian disambung lagi.

“Menyakitkan hati ke, memberi harapan ke…Biarlah orang yang buat dekat kita, Lia. Sebab kita masih boleh berbuat sesuatu, kita boleh bersabar. Orang yang sabar selalu beruntung. Allah juga bersama-sama orang yang sabar. Yang pasti jangan kita yang buat macam itu dengan orang lain…sebab Mak risau, suatu hari nanti, seandainya berlaku sesuatu yang menyebabkan kita kesal dengan perbuatan kita, kita payah untuk menemui penawar sesalan kerana memikirkan kita sendiri yang memulakan, cerita yang membawa kepada penyesalan tu.”

Sungguh menakjubkan bicara wanita yang bergelar ibu ini, cukup tenang, cukup jauh pandangannya, dan cukup indah cermin hatinya. Kata-kata ibu ibarat selembar kain yang setidak-tidaknya berjaya mengurangkan kedinginan di kala hati Alia kontang dan tersiat di himpit ais batu tajam yang keluar dari mulut Haqqan.

Ada satu suara kecil, suara syaitan barangkali yang menyuruh aku berdoa agar Haqqan menyesal dengan tindakannya suatu hari nanti. Tapi cepat-cepat aku libas suara itu dengan lafaz ‘Astaqfirullahal azim’. Bukan Alia, kau bukan orang itu, yang berharapan sedemikian rupa. Kau mahu jadi ahli syurga, yang mana ciri-cirinya ;memaafkan manusia dengan penuh cinta.Bahkan mendoakan yang terbaik buat mereka. Hebat, terpana sebentar memikirkan sehebat itu sebenarnya seorang manusia biasa boleh jadi, tapi sekuat itukah aku? Boleh mesti boleh punya.

“ Lagipun kalau begitu kata Haqqan, memang anak mak ni tak sesuailah dengannya” jawab Mak membelai-belai rambut perlahan Alia ketika Alia duduk tersandar kepada ibunya.

“Kenapa pula, Mak?” dipandangnya wajah ibunya dalam-dalam meminta penjelasan. Penjelasan yang boleh menjernihkan hatinya yang gelap berawan kelabu tak cerah-cerah juga.

“Sebab anak mak jiwa pejuang, macam arwah ayah, lantang berbicara menegakkan apa yang dipercaya, bukan sekadar duduk diam bersabar dalam berniaga berharap konflik bertandang tidak lama.” Akhirnya jawapan Mak membuat aku mengukir sebaris senyuman percaya. Tersenyum kerana menyedari kelambatan aku menakar ketidaksesuaian diriku dan Haqqan, tetapi juga tersenyum kerana mengingatkan kepantasan Mak menyedari semua ini.

Ketika itu juga Alia terdiam dan terpana oleh kebesaran hati Mak. Tidak ada riak kecewa dihati ibu itu, padahal Mak juga telah tahu berkenaan hasrat Haqqan menghantar rombongan meminang tempoh hari. Mak juga tahu itulah orang yang ciri-cirinya selalu disebut-sebut Alia sebagai ciri-ciri pasangan idamannya. Tetapi lebih dari itu, Mak tahu memujuk anak gadis manjanya itu.

“Tengok apa, Alia kau ni dari tadi senyap saja” Sakeenah bersuara, setelah dari tadi memandu tanpa apa-apa bunyi sebagai latar belakang.

“Tengok jalan raya lah. Kinah tiap-tiap minggu kau ‘drive’, aku tak pernah hafal pun jalan nak pergi pondok ni. Nanti kalau kau tak ada pergi mana-mana ke, aku nak pergi sendiri mesti aku tak reti.Aku kalau tak drive sendiri memang tak boleh ingat jalan lah jawabnya” kata Alia.

“Kau drive la pulak minggu depan, baru kau ingat, elok la takda la kau berangan ja. Aku saja la drive sebab mengingatkan kau dah penat naik bas express tiap-tiap petang jumaat. Rushing terus lepas balik kerja. Jihad tu!” ujar Sakeenah tersengih sendiri tanpa memandang Alia.

Alia cuma ketawa kecil.

Tatkala papan tanda yang tertulis An-Nahdhoh di tepi jalan raya yang berdebu itu kelihatan, Sakeenah pantas membelok Myvi kelabunya ke kiri menelusuri lorong-lorong kecil lagi sempit. Siapa yang tidak pernah ke sini, pasti tidak akan menyangka di sebalik rumah-rumah kampung yang berselirat, jalan kecil yang semakin dimamah kerosakan, tersembunyi mahligai indah, syurga para ahli pencinta ilmu, iaitu sebuah pondok tahfiz moden

Walaupun ini pusat pengajian formal, tapi hari Sabtu hari pengajian untuk umum, kuliah mingguan kitab tafsir dan kitab ibadah dan kerana inilah setiap Sabtu, Alia dan Sakeenah akan berkelana dari rumah ibu bapa mereka di Sungai Petani hampir ke hujung peta di Pulau Pinang untuk mengisi hati dengan ilmu. Mahu jadi secerdik Aisyah, bidadari kesayangan hati Nabi!

Hari itu, pengajian masih berkisar tentang tafsiran surah Ali-Imran pada bahagian Perang Uhud. Perang yang pada awalnya kelihatan seperti kalah, tetapi akhirnya menang juga walaupun banyak yang terkorban. Sungguh, pengajian tentang perang Uhud adalah satu bab pembelajaran yang sangat meruntun jiwa kerana terlalu banyak pengajaran yang dalam di pelajari dari situ.

Namun hari itu, yang tertancap kuat di hati Alia ialah, jangan berputus asa dengan rahmat Allah, jangan lemah, perjuangan harus diteruskan tidak kira apa yang terjadi kerana sesungguhnya Allah sekarang cuma mahu menguji setakat mana imanmu. Persoalannya jika Allah menghilangkan salah satu pasak kebanggaanmu, pasak yang menjadi menara kotamu adakah kau akan runtuh, berundur, berpaling atau jatuh atau apakah kau mahu meneladani Nabi, yang terus yakin, sepenuh jiwa menjadi orang beriman yang sedar tidak kira apa berlaku, Allah ada untukmu, selagi kau junjung agamanya yang tinggikan kalimahnya.

“Dan jangan kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman” (139:3)


Monday 26 September 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 2] - Achik & Alia


"Yang bercahaya tak semestinya emas, yang cantik tidak semestinya permata"


“Alia, Alia okay ke ni? Achik dah dengar dari Haqqan kelmarin  masa dia chatting dengan Achik” Keesokan harinya selepas Subuh Achik sudah terpacul di muka pintu bertanyakan hal itu.


Rumah Achik dan Alia tidak berjauhan, masih di taman perumahan yang sama. Jadi bukan suatu kejanggalan untuk Achik membuat aksi ala-ala kunjungan surprise di waktu-waktu yang tak dibuat orang.


Alia senyap membatu. Tak tahu nak menjawab bagaimana. Mahu beri jawapan standard yang diharapkan, jawapan ikut nafsu atau jawapan yang sepatutnya muncul dari jiwa yang bersih? Nampak sangat lah ini belum menjadi akhlak yang sebenar-benar akhlak, sempat pula nak berfikir-fikir jawapan mana harus dipilih.

Tapi nak kata tak sabar, tidak lah begitu. Rasanya sabar saja. Tapi redho sampai semua yang terjadi tidak memberi bekas? Rasanya iman Alia tidak di situ. Jauh lagi.

“Achik amboi awalnya datang, gelap lagi ni. Bincang hal apa penting sangat ni pagi-pagi, macam hal penting saja, Kalau ya pun masuk lah dulu, Mak Usu buatkan air” Mak tiba-tiba muncul dari belakang setelah terdengar bunyi enjin motor Achik yang tidak dimatikan. Alia cepat-cepat mengisyaratkan jari menyuruh Achik tidak menumpahkan apa-apa rahsia dari mulut ramahnya. Namun sepantas kilat jugak Mak berlalu ke dapur.

Achik masih menunggu aku memberi satu jawapan tetapi aku memandangnya dengan pandangan kosong. Dia sengaja singgah di rumah selepas sembahyang Subuh di surau pagi itu. Pastinya dia risau. Manakan tidak, Achik adalah orang tengah yang digunakan Haqqan untuk merisik aku sebelum ini.

Achik jugalah yang bersalah mewar-warkan kehebatan Haqqan dalam berjuang menegakkan apa yang dipercayainya. Haqqan itu Haqqan ini..Haqqan kata itu Haqqan kata ini..Haqqan pergi forum tu Haqqan pergi forum ni..Haqqan nak pergi Mesir, Haqqan nak jadi seperti Sultan Muhammad Al Fateh lah, Haqqan nak jadi seperti imam itu ini lah... Semua ada. Ada-ada sahaja cerita Achik berkenaan Haqqan yang menjentik hati Alia untuk mengagumi Haqqan selama berkampung di Semesra sehingga ke UM. Semua salah Achik. Tak syak lagi.

Tetapi mungkin juga salah aku yang pemurah meminjamkan telinga, menjadi pendengar setia sepupu sesusuan yang telah aku anggap sebagai adikku sendiri. Salah aku kerana tersalah menapis cerita, yang patut dituras ke otak agar menghasilkan emas bernilai sebagai menguat semangat, terturas ke hati, membuahkan impian murni. Tak berapa nak murni sangatlah sebenarnya, saja lah buat ayat bagi nampak tulus.

Salahkah Achik bercerita tentang sahabat yang dicintai sebagai tanda mengagumi dan pada masa yang sama sebagai pembakar semangat untuk turut berpatah arang terjun dalam satu perjuangan yang pada hakikatnya adalah milik semua individu dan juga tanggungjawab semua orang?

Achik ibarat Robin yang sudah bertemu Batmannya, silapnya aku, cuba menjadi heroin yang mengorek kesemua cerita kesempurnaan Batman dari ‘sidekick’nya. Eh silap, aku tidak pernah mengorek cerita, langsung tapi cerita datang kepadaku, bagaikan dipanggil-panggil. Ah pastilah yang indah-indah belaka bila yang bercerita pun si Robin. Tetapi, mungkin juga ianya sememangnya indah. Wallau’alam.

Kenapa aku kata aku tak tahu indah atau tidak. Sebab aku bagi aku, di zaman sekolah Haqqan seorang pelajar kelas Sains Tulen yang kononnya berkaliber, Muazzin tetap, kaki surau, Biro apa entah..Aku memang tidak ambil pusing kerana tidak ada keperluan dan aku di kelas Teknikal.

Tetapi cuba bayangkan situasi ini. Dari tingkatan 4 sehingga habis pengajian ijazah di Universiti Malaya, hanya cerita enak berkenaan dengan Haqqan sahaja yang dihidangkan dan disuntik perlahan-lahan meresapi otakku oleh Achik merangkap rakan sekelas Haqqan. Mana mungkin aku menjadi daud keladi yang tak lut air. Ini adalah fitrah semula jadi. Ya, manusia sentiasa mahukan sesuatu yang baik. Tidak salahkan aku juga mengimpikan yang baik setelah aku belajar apa itu baik?

“Mmm…Achik, masuklah dulu, kita makan nasik lemak. Nantilah kita cakap pasal ni.” Kata Alia, akhirnya melemparkan sebaris senyuman tawar.

Achik berpuas hati dengan jawapan pendek itu dan cepat-cepat mematikan enjin, turun dari motorsikal EX5 lama itu dan tunduk mengikut Alia yang masih bertelekung ke dalam rumah.

Ketika kecil, Alia tinggal dengan Mak Ngah, ibu kepada Achik. Mak Ngah ni makcik Alialah, kakak kepada Mak. Mak Ngah tidak bekerja dan suri rumah sepenuh masa. Jadi memandangkan Mak memang wanita bekerja dari zaman dulu-dulu lagi, Mak Ngah lah yang menolong menjaga Alia baik-baik, sampai gemuk, macam anak sendiri.

Hari-hari sebelum pergi kerja mak akan pack semua barang-barang dalam beg kain yang tertulis ‘Alia Punya’ dan hantar aku ke rumah Mak Ngah. Agak best juga lah sebab pagi-pagi dah kena bawak jalan-jalan naik kereta pergi rumah Mak Ngah. Bila sampai saja, Mak Ngah akan sambut depan pintu rumah macam tuan puteri. Masa tu jugak, anak-anak Mak Ngah akan beratur saja di tepi pintu pagar yang dah senget tu untuk tengok si Alia datang dahhh…

“Aliaaaa….Aliaaaa…”Abang Long akan mencubit pipi aku yang tembam sambil buat muka geram sebab tengok baby girl yang comel lagi suka senyum. Hakikatnya mana ada baby yang tak comel. Tak begitu? Mungkin jugak dia dah bosan tengok si baby boy yang dalam rumah dia orang tu.

Abang Long, anak sulung Mak Ngah selalu akan jadi ‘porter’ yang akan ‘angkut’ semua barang-barang aku macam lampin, tin susu, bekas air masak botol-botol susu yang Mak dah letak dalam satu bakul lain. Lepas tu, Abang Ngah akan bawak beg ‘Alia Punya’ masuk dalam. Abang Lang selalu tak ada sebab dia suka main, Ateh pun hilang sebab dia akan pergi main dengan Abang Lang dan Achik pulak akan berdiri di tepi pintu rumah buat muka tak puas hati sebab perhatian mak dia dah beralih dekat aku.

Anak-anak Mak Ngah semua hero belaka, jadi sebab tu lah aku jadi macam Tuan Puteri bila Mak Ngah jaga aku. Achik tu pulak anak Mak Ngah yang bongsu sama umur dengan aku, jadi agak senang lah menjaga sebab ada baby yang sama umur lagi satu.

Keluarga Mak Ngah memang sangat rapat dengan keluarga kami bukan sahaja sebab Mak adalah adik kepada Mak Ngah tapi jugak sebab Mak Ngah dah menyusukan aku dari kecil. Kiranya aku dengan anak-anak Mak Ngah dah jadi pangkat serupa abang, adik lah. Itu yang sampai ke besar boleh melawak lebih kurang bertengkar tarik rambut.

Achik sekolah sama dengan Alia, dari taski, sekolah rendah, sekolah menengah, matrik sampailah ke Universiti Malaya. Seakan-akan tertakdir menjaga satu sama lain kan? Tapi begitulah yang tersurat. Achik pun tak ada saudara perempuan, Alia pula anak bongsu, tidak berteman sebab kakak dan abang sebelumnya jarak umurnya agak besar.

Namun, hikmah sebenar yang dapat difikirkan dengan akal sependek ini berkenaan terhadiahnya Achik dalam hidup Alia ialah Achik ibarat satu cermin istimewa kurniaan Tuhan dari syurga buat Alia. Mereka mungkin berkongsi rasa, cerita dan masalah, mungkin juga banyak menerbitkan persamaan dari segi tingkah bicara dan hobi semasa, kecenderungan dari segi agama dek kerana ditarbiah di rumah yang sama, tetapi Achik mempunyai buah fikiran lelaki yang diperlukan Alia untuk menegurnya dikala terleka menjaga tatacara seorang wanita, mengimbangi sifat emosinya yang kerap berubah-ubah ke sana ke mari, meluahkan pendapat dengan jujur untuk tujuan membaiki, memuji apa yang manis dan elok tanpa iri, sekaligus membantu membentuknya menjadi seorang perempuan yang agak kukuh jiwanya tetapi sederhana perilakunya selain pandai membawa diri.

“Alia, Achik rasa Alia redhokanlah Haqqan tu ya. Haqqan tu mungkin baik tetapi itu bukan yang terbaik untuk Alia. Achik yakin Allah akan menghantarkan orang terbaik tu untuk Alia, insya Allah. Tapi kena sabar lah, ” Riak muka Achik masih kelihatan serba salah ketika dia duduk di meja makan merenung bungkusan nasi lemak yang tak terusik.

“ Achik pun tak tahu kenapa jadi macam ni. Tapi nak disalahkan Haqqan pun, Achik ralat. Ibarat menyalahkan pokok yang mati di musim kemarau padahal tidak ada kuasa pun, pokok itu menghalang kematiannya sendiri..” ujar Achik lagi.

“Pokok matilah pulak. Sudahlah Achik nak berfalsafah lagi, Robin ni. Alia tak pa-apa.” Alia cuba menceriakan keadaan, cuba mengubat hatinya yang belum aman dari sentakan kuat semalam. Jika hati ini bumi, nescaya berita semalam itu mungkin kiamat kecil berupa tsunami yang menggegarkan seluruh pelosok dunia dengan amukannya.

 “I’m okay, cuma Alia rasa tak best dengan reason dia, itu sahaja. Buat Alia rasa sedih.” Kata Alia. Jiwanya masih memberontak.

Lama terdiam Achik, mungkin memikirkan kata-kata terbaik yang mahu diluahkan kepada sepupu tersayang sebagai penyembuh luka dihati. Kemudiannya dia bersuara perlahan “…apa ada pada alasan, ianya cuma hiasan sebuah ketentuan, yang telah kering penanya kukuh sebagai suratan,”

And he is 100% right.

Saturday 24 September 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 1] - Haqqan

 “Mungkin baik untukku sesuatu yang dulu aku menghindarinya. Dan mungkin buruk untukku sesuatu yang dulu aku mengharapkannya.”

“Saya ada sesuatu yang penting nak saya beritahu ni Alia.” Kata-kata Haqqan terhenti di situ. Dia diam seakan-akan berasa berat untuk meluahkan sesuatu. Aku jadi tak tentu arah, berita jenis apa ini yang bakal aku dengar. Yang pasti hatiku mula berdebar-debar. Haqqan nak hantar rombongan meminang aku kah?

“Ya, saya mendengar” Kaku seketika. Mungkin kaku kerana ini kali pertama Haqqan menelefon aku sedangkan dia tidak pernah berbuat begitu tetapi juga kaku kerana memikirkan hal jenis apa ini sehingga menuntut lelaki seperti Haqqan mengangkat bendera putih dan menghubungiku melalui telefon, dari Mesir pulak tu. Pasti isinya penting.

Seandainya masa boleh dihentikan mahu sahaja aku hentikan waktu itu. Aku tak tahan debaran yang terlalu kuat menggila, menggoncang segenap urat sarafku. Aku mahu tahu apa yang bakal diucapkan Haqqan tetapi pada masa yang sama aku takut apa yang bakal diucapkan itu adalah sesuatu yang tak langsung ingin aku dengari.

Sudah beberapa kali dalam hidup aku melalui situasi begini dan selalunya apabila yang buruk yang aku sangka, berita baik yang aku terima. Bagaimana pula kali ini?

“Begini…semalam ummi saya ada call ke Mesir bertanya khabar…Kemudian, saya ada bincang tentang apa yang saya luahkan kepada Alia melalui emel tempoh hari..”

Sudah boleh menarik nafas legakah? Atau masih berada di status merbahaya? Berbaik sangkalah Alia, berbaik sangka.

“Alhamdulillah. Jadi bila rombongannya hendak kemari?” Aku akhirnya menarik nafas paling panjang dan memberanikan diri bertanya.

“…Alia awak percaya takdir tak? ” Nadanya masih tenang tetapi serius. Dia berhenti disitu dan suasana menjadi senyap. Aku tahu ini muqaddimah apa..! Sedikit demi sedikit aku cuba menyerap buah-buah perkataan yang semakin hilang samarnya. Dapat aku rasakan kekuatan yang tadinya masih berbaki kini telah kontang. Hati aku menjadi kosong tak semena-mena.Jantungku bagaikan sudah berhenti bernyawa.

“Percaya” Aku sendiri tidak pernah mendengar suara aku yang selemah itu.Ya Allah, Astaqfirullahalazim. Istiqfar Alia, istiqfar.

“Masih ingat tak dulu, dalam kelas kita, suatu ketika ada satu perbincangan berkenaan Qada’ dan Qadar dengan panjang lebar dengan Ustaz Abrar…” Setelah didengarnya aku diam tidak menjawab sepatah apa pun..dia akhirnya menukar topiknya kepada sesuatu yang lebih jelas, tepat dan cepat untuk diselesaikan.
Lagipun, bukan aku tak tahu agama.Aku orang yang pergi mengaji, aku sudah khatam bab Qada’ dan Qadar.
 
Dalam teragak-agak dia membuka bicara “Beginilah..Alia, sebenarnya Ummi saya telah berkias mahu menjodohkan saya dengan sepupu saya sendiri iaitu anak tiri Pak Su Tarmizi yang tinggal di Melaka tu. Menurut Ummi mereka ni orang susah, kais pagi makan pagi tetapi Alhamdulillah mereka masih berjaya menjaga iman dan warak. Menurut hemat Ummi, mereka amat memerlukan bantuan keluarga kami. Lagipun hanya keluarga mereka sahaja masih di Melaka sedangkan ahli keluarga sebelah Abi yang lain telah berhijrah ke Perak. Jadinya jika saya dijodohkan dengan sepupu saya, hubungan yang telah renggang ini dapat dibaiki dan lingkungan dakwah dapat dibesarkan. Lagipun Ummi nampak berharap sangat.”

Aku hairan dengan ketenangan Haqqan menyampaikan semua ini kepadaku. Dimana dia dapat kekuatan sebegitu? Kerana, aku sendiri sedang sebak menahan air mata aku dari menitis kerugian. Mengapa harus aku sedih? Kerana di saat aku sedang kehilangan sesuatu yang aku takuti, aku sedang kehilangan seorang pejuang, aku sedang kehilangan seorang imam yang dengan gah meninggikan jalan hidup salafus soleh yang aku rasakan mampu merealisasikan misi hidup aku. Entah di mana kan aku cari ganti sebaikmu wahai Haqqan Muslim.

Bertahun aku menyulam harapan, bertahun aku menunggu terbinanya sebuah institusi kukuh yang diidamkan semua wanita yang mahukan susuk pemimpin yang berselera Islami yang dipercayai dapat mengemudi bahtera rumah tangga dengan baik. . Tak sangka pula aku di saat-saat ini Allah membawa aku membelok ke satu jalan lain yang tak pernah terlintas di hatiku.

“Jadi, awak setuju?” Dia ni tak terfikir pula ke mengenai hal berkahwin dengan sepupu dekat yang kurang baik untuk keturunan?

Ya sejujurnya aku berasa payah untuk menerima berita itu.Sebab itulah aku mereka-reka berbagai-bagai soalan untuk menidakkannya.

“mmm…Setelah istiqarah, ya, saya mantap Alia. Saya rasa inilah peluang untuk saya berjuang. Lagipun… ” Senyap lagi.

“Lagipun apa?”

“Lagipun Ummi juga ada menyebut yang menurut firasat Ummi, lebih senang jika menantunya ada pertalian darah, ahli kelurga sendiri. Menurut Ummi, jihad menjalankan perniagaan Islam seperti yang kami jalankan adalah satu dunia yang mencabar, jadi jika yang menyandang tanggungjawab itu di kalangan keluarga kami sendiri, akan merapatkan kali hubungan dan tidaklah begitu terasa dihati dan nak bermasam muka berlarutan jika berlaku konflik pun. Saya sendiri sangat faham dengan apa yang dimaksudkan Ummi tu.”

Aku berasa sungguh ‘asing’ dan sangat ‘orang luar’ apabila Haqqan menggunakan perkataan ‘kami’. Seakan-akan perkataan itu berkata kepada aku ‘kau ini siapa nak masuk ke dalam keluarga kami yang hebat ni?’ Lagi satu aku rasa……tertipu. Tipu. Tipu. Alasan. Bagaimana mungkin mereka tiba-tiba meneka-neka tahap kesabaran aku menghadapi konflik dan kekuatan aku dalam menerima ujian?

“Kalau begitu, baiklah Haqqan. Tak apa, saya redho. Memang tidak tertulis di atas sana untuk saya menjadi sayap kiri awak. Saya rasa awak berada dilandasan yang benar, insyaAllah. Mendahulukan hasrat seorang ibu selagi tidak bercanggah dengan hukum Allah itu yang terbaik dan yang paling penting dengan siapa pun kita bernikah, perjuangan harus diteruskan, yang penting matlamatnya jelas”

“Alhamdulillah Alhamdulillah, Allahu Akbar. Semoga Allah melindungi awak Alia. Makbul doa saya agar Allah melapangkan hati awak menerima semua ini dengan terbuka. Maafkan saya kerana telah memberi harapan tempoh hari padahal terlalu sedikit ilmu saya nak menduga percaturan Allah. Baiklah Alia, saya doakan awak bertemu jodoh dengan lelaki yang dijodohkan Allah untuk mukminah seperti awak, dan semoga awak juga terus berjuang di jalan Allah. Ameen ya Rabb. Assalamualaikum.”

“Ameen. Waalaikumussalam.” Tutt…tutttt

Innalillahiwainnailahirraji’un. Dan secara sah, aku hilang sesuatu yang bukan milik aku pun. Sabarlah Alia, bersabar kerana Allah bersama orang-orang yang sabar.


“Yang membuat kita menderita bukan pada kenyataannya melainkan karena tidak bisa menerima kenyataan” – Aa Gym.