“You know you're in love when you can't fall asleep because reality is finally better than your dreams.” - Dr Seuss
Solehuddin laju keluar dari perut kereta sambil bingkas menanggalkan cermin mata hitam berjenama Oakley-nya. Sempat dia mengerling cermin tingkap keretanya yang hitam dikerjakan kedai ‘tinted’ untuk melihat dirinya sebelum menyerbu ke rumah kenduri. Meon, Hussin dan Pak Andak pun sama melompat. Tak sabar rasanya nak menyakat Black yang akan menikah hari ini. Mereka yang berkongsi kereta mengembara ke utara tanah air tadinya di dalam kereta sudah puas meneka-neka seputih mana muka Black akan jadi pada hari ini di samping merancang untuk mengenakannya habis-habisan.
“Bior biru muko hitam Black dek sogan kono sakat!!” kata Meon lalu disambut dekah ketawa yang menyesakkan satu kereta.
Tatkala menjejak kaki di rumah banglo kayu jenis lama yang tersergam indah di tengah sawah padi itu, mereka terus menuju ke ruang tengah rumah di mana Black sedang dipakaikan baju melayu oleh Pak Su-nya dan ternyata Black kelihatan gugup dan belum siap untuk acara pernikahan.
“Ehhh..hampa mai jugak” ujar Black yang baru sedar kehadiran mereka.Terharu agaknya, adik-beradik lain ibu lain bapa datang juga ke Merbok walaupun kesemuanya bekerja jauh di ibu kota Kuala Lumpur. Masing-masing menjangkau tangan dari jauh untuk bersalam-salaman dek kerana terhalang dengan kelibat Pak Su si Black.
“Black! Hensem teruknya hang harini… Pinau mata aku tengok hang dari jauh tadi ha, bukan apa Black serinya lain macam” Solehuddin menepuk-nepuk belakang Black yang kacak bergaya mengenakan songket merah emas. Di sisi hadapan, Pak Su kepada Black yang agak lembut perwatakannya sibuk membetulkan ‘bunga’ pada kain sampinnya. Pak Su Black hanya mengerling, tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala melihat anak saudaranya disakat kawan-kawan dari zaman sekolah yang masing-masing datang dari jauh untuk menyaksikan hari bersejarah teman baik mereka.
“….seri sebab pertama kali nampak hang putihhh sejak aku kenal hang, hahaha! Tapi putih tang muka saja la, leheaq colour lain tangan pun colour lain, Pak Su lupa nak tempek bedak kot ni” bergema mereka ketawa sehingga membingitkan suasana. Dengan Pak Su-Pak Su di sakat sekali.
“ Dak aih sungguh, aku dok ingat Rooney dah tadi, mai dekat baru perasan, Ahmad Yusuf Ropi’ie rupanya tu pun sebab cam tang gigi taring buruk hang yang sebatang tu kalau tadi Black senyum pekup mulut, pakai dok ingat Rooney sampai ke sudah dah” sampuk Pak Andak bersahaja mengaitkan dia dengan pemain bola kesukaannya. Mereka ketawa lagi. Terbayang di ingatan Solehuddin bagaimana Black selalu mengaku dirinya Rooney terutamanya jika mereka bermain futsal atau menonton perlawanan bola Manchester United tatkala berkumpul. Bagai nak pecah perut menahan senak ketawa yang sudah lama dirindui kerana sudah lama tidak bersua muka.
“Ah sudahlah hampa semua ni. Mai bukan nak doa bagi aku tak ketaq, dok bagi aku kalut lagi ada la” Black ketawa kecil membalas asakan mereka. Sekurang-kurangnya lawak jenaka mereka mengurangkan resahnya yang tak henti-henti cuba membayangkan kengerian saat menggoncang tangan ‘Tok Kadi’.Allahu Akhbar~ ngilunya.
“Pandai merajuk hang la ni Black, ui mentang-mentang nak menikah satgi.Jadi sentimental manja-manja. Teruk ni, dengan kita pun si Rooney ni jadi penyakit manja dah Hussin oi.Geli~”
Hussin, lelaki dari Pahang, kecil bertubuh kurus yang kurang bercakap lebih banyak bertindak sebagai pendengar setia dan tukang gelak, hanya ketawa kecil.
Hari itu, setelah berjaya menikahi pasangannya, Sumaiya, yang dikenalinya melalui laman facebook, Solehuddin terlihat akan satu sisi watak pada diri Black yang selama ini tidak dia kenali. Walaupun gugup dan berpeluh bagaikan baru selesai mendaki gunung Kinabalu, Solehuddin dapat menyerap perasaan bahagia dan tenang yang menusuk masuk ke hati sahabat baiknya itu di saat dia bersalaman dengan Sumaiya. Senyumannya juga serasa lain. Bukan pada manisnya kerana Black semenangnya manis orangnya, tapi mungkin pada kepuasan dan harga keikhlasan senyuman itu. Senyum syukur barangkali?
Aneh. Sungguh aneh. Hanya hari ini Solehuddin seperti baru menangkap kedewasaan Black ‘partner in crime’ nya dari zaman sekolah menengah. Ah mungkin kerana lama tidak jumpa, mungkin kerana sisi halus ini tidak pernah dipertontonkan kepada kawan-kawan yang rata-rata merapu dan gila-gila lagaknya. Di saat dia memimpin tangan Sumaiya, Black kelihatan yakin sekali. Bukan keyakinan seorang Romeo yang gembira kerana berjaya memperagakan Julietnya. Tetapi ini ternyata keyakinan dan kematangan seorang suami yang tahu tanggungjawab besar yang digalasnya juga seorang lelaki yang bersedia memikul segala susah senang wanita di sebelahnya seumur hidupnya.
Tragis sekali perasaan ini. Apa ni Solehuddin? Tak rock betul. Sentimental pula dekat majlis Black. Entah-entah dah sampai seru!
“Terima kasih lah sebab hampa semua mai kenduri aku” ujar Black bersalam-salaman di saat Solehuddin dan kawan-kawan mahu mengundur diri dari majlis walimahnya.
“Ya lah Black. He he he selamat belayar di lautan tidak bertepi, eh silap Black pulak, abang Mat Chup” Meon cuba menyakat pasangan pengantin baru itu. Sumaiya hanya tersenyum simpul memerhatikan gelagat kawan-kawan suaminya.
Selesai bersalaman mereka cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan mengucapkan selamat tinggal kepada bumi Merbok, sambil diiringi lambaian Black dan isteri dari kejauhan.Semakin jauh, bayangan mereka semakin kecil dan akhirnya menjadi titik dua titik merah yang sangat kecil sebelum menghilang di sebalik jalanraya. Sungguhpun bayangan mereka telah menghilang, kata-kata Black kepada Solehuddin tatkala dia duduk-duduk sebentar bersamanya tadi terus melekat di dalam hati.
“Kahwinlah Yeh. Bila lagi hang nak kahwin. Dah 28 umur hang. Nanti-nanti kalau kawan-kawan tak dak dekat-dekat dan hang boring tak dak orang nak teman pi karaoke, ada gak orang nak teman tengok bola, tolong lompat sama time MU bubuh gol!Haha Orang tolong masak kat hang ka. Dak pun peringat suruh hang bangun sembahyang Subuh Haha” ujar Black menanggalkan tanjak di dahi yang sudah lencun dibasahi peluh.
“Nantilah, nak rilex-rilex dulu. Tak dak pun awek cun-cun kat company tempat aku kerja. Ada comey-comey cute-cute nanti aku sendiri berasa nak kahwin la kot. Takkan nak cari kat facebook macam hang kot. Hang ni dah memang takdir namanya.” Jawapan itu meluncur laju dari mulut Solehuddin sambil memerhatikan gadis-gadis yang lalu lalang di majlis kenduri Black. Boleh tahan cuma tak memikat hati.
Sungguh, kahwin tidak pula terlintas difikirannya pada masa ini. Hidupnya buat masa ini sudah agak lengkap. Bukan lengkap dengan suri di hati, tetapi lengkap dengan kesibukan di tempat kerja, dengan banyak outstationnya dan hobi bermain videogame yang semenangnya menggila. Nak kahwin, ya. But not now.
“Ya lah tu.ikut hang lah. Tapi nanti kalau raya kesian, hang naik kereta balik kampung sorang-sorang, aku tangkap gambaq raya dengan isteri!!!” Bersinar biji mata Black bercerita.
“Podah, wei hang baru saja kahwin tadi kot dah nak berlagak dengan aku dah.Hantu btui!”
Raya.Best juga ada isteri kan? Nanti boleh tolong mak buat kuih raya! Sepintas ingatannya berpindah kepada emak dan adik-adik di kampung yang masih belajar ada yang di sekolah dan ada yang sudah di Matrikulasi. Oh rindunya sudah lama tak pulang ke kampung halaman.
“Yeh, kita nak pergi mana ni. Balik hotel, lepas tu terus balik KL ke macam mana ni?” Meon yang tadinya rancak bercerita dengan Pak Andak tiba-tiba bertanya.
“Ermm..kita balik hotel rehat-rehat jap kemas barang. Lepas tu, pergi la makan kat shopping mall mana-mana ka. Pastu shoot balik KL la. Cemana okay?” Solehuddin mencadangkan.
“Alright boss!!” serentak suara parau mereka berseru!
Kalau ada isteri jawab “Baik abang” best jugak ni. Ahh mengaruttt Solehuddin!