Hidup ini bukanlah jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan ada kalanya disirami air mata dan juga darah - Hamka
Kotak-kotak padi yang hijau menguning menghias indah perjalanan dia dan Sakinah ke pusat pengajian pondok di utara tanah air itu. Landskap sawah bendang sememangnya mempunyai sihir tersendiri. Melihat akan ia membawa satu perasaan damai dan selamat yang tak terbicara dengan kata-kata. Mungkin juga ianya mengingatkan kita tentang perasaan suci seperti mana bumi yang pada fitrahnya dihadiahkan kepada kita oleh Tuhan sebegini rupa.
Otak Alia ligat meneliti, mencari-cari memori-memori, bingkisan kenangan yang tersisa yang mana jika ada susuk tinggi lampai lelaki itu turut termuat di dalamnya.
Sejujurnya tidak ada kenangan-kenangan tipikal ala-ala lagak drama Sembilu Kasih, atau Romeo and Juliet. Tiada. Mereka bukan begitu. Dulu di pusat pengajian tinggi, mereka juga tidak pernah bergurau manja, saling berbalas lirikan mata atau kata-kata kiasan yang membuahkan maksud yang tersimpan. Tetapi mungkin juga kerana semua itu tidak tercatat dalam lembaran kenangan di hati Alialah, yang membuatkan ia begitu mengusik jiwa dan istimewa. Susah nak dilupa.
Ya, kerana ianya satu kisah bersih dan polos dua manusia jarang sekali berbicara, ada peluang terlihat masing-masing di kejauhan dewan kuliah yang besar, terserempak sekali-sekala itupun dilarikan cepat-cepat anak mata, tetapi menjadi sebuah ceritera yang berharga di saat lelaki itu merisik dirinya. Indah bukan?
Seingat Alia, jika ada tentang dirinya yang mungkin membuat Haqqan turut percaya yang mereka patut bersama dalam mengharung dunia, mungkin ada pada ketajaman fikirannya, kejujurannya dalam berkata-kata meluah rasa terutama di podium debat terbuka atau hanya kerana jiwa beragamanya? Entah, dia sendiri tidak tahu.
Sudah tidak penting sebenarnya. Tidak penting ibarat poster-poster pilihanraya yang masih berkibar megah memenuhi jalanraya tatkala keputusan pilihraya sudah terumum sebaliknya. Jadi, mengapa fikir? Jawapan: Kerana tidak tahu di mana harus membeli pemadam magis yang boleh memadam kenangan atau mungkin juga memadam harapan yang masih bergantungan di tali-temali doa.
Wahai hati, lepaskanlah harapan itu.
Tetapi perlahan, semuanya seakan kabur dan meresap di dalam udara apabila kata-kata Mak semalam terngiang di fikirannya, “Tak apalah Alia sabar nak, apapun biarlah bukan Alia yang buat dekat orang…” kata-kata Mak terhenti di situ, kemudian disambung lagi.
“Menyakitkan hati ke, memberi harapan ke…Biarlah orang yang buat dekat kita, Lia. Sebab kita masih boleh berbuat sesuatu, kita boleh bersabar. Orang yang sabar selalu beruntung. Allah juga bersama-sama orang yang sabar. Yang pasti jangan kita yang buat macam itu dengan orang lain…sebab Mak risau, suatu hari nanti, seandainya berlaku sesuatu yang menyebabkan kita kesal dengan perbuatan kita, kita payah untuk menemui penawar sesalan kerana memikirkan kita sendiri yang memulakan, cerita yang membawa kepada penyesalan tu.”
Sungguh menakjubkan bicara wanita yang bergelar ibu ini, cukup tenang, cukup jauh pandangannya, dan cukup indah cermin hatinya. Kata-kata ibu ibarat selembar kain yang setidak-tidaknya berjaya mengurangkan kedinginan di kala hati Alia kontang dan tersiat di himpit ais batu tajam yang keluar dari mulut Haqqan.
Ada satu suara kecil, suara syaitan barangkali yang menyuruh aku berdoa agar Haqqan menyesal dengan tindakannya suatu hari nanti. Tapi cepat-cepat aku libas suara itu dengan lafaz ‘Astaqfirullahal azim’. Bukan Alia, kau bukan orang itu, yang berharapan sedemikian rupa. Kau mahu jadi ahli syurga, yang mana ciri-cirinya ;memaafkan manusia dengan penuh cinta.Bahkan mendoakan yang terbaik buat mereka. Hebat, terpana sebentar memikirkan sehebat itu sebenarnya seorang manusia biasa boleh jadi, tapi sekuat itukah aku? Boleh mesti boleh punya.
“ Lagipun kalau begitu kata Haqqan, memang anak mak ni tak sesuailah dengannya” jawab Mak membelai-belai rambut perlahan Alia ketika Alia duduk tersandar kepada ibunya.
“Kenapa pula, Mak?” dipandangnya wajah ibunya dalam-dalam meminta penjelasan. Penjelasan yang boleh menjernihkan hatinya yang gelap berawan kelabu tak cerah-cerah juga.
“Sebab anak mak jiwa pejuang, macam arwah ayah, lantang berbicara menegakkan apa yang dipercaya, bukan sekadar duduk diam bersabar dalam berniaga berharap konflik bertandang tidak lama.” Akhirnya jawapan Mak membuat aku mengukir sebaris senyuman percaya. Tersenyum kerana menyedari kelambatan aku menakar ketidaksesuaian diriku dan Haqqan, tetapi juga tersenyum kerana mengingatkan kepantasan Mak menyedari semua ini.
Ketika itu juga Alia terdiam dan terpana oleh kebesaran hati Mak. Tidak ada riak kecewa dihati ibu itu, padahal Mak juga telah tahu berkenaan hasrat Haqqan menghantar rombongan meminang tempoh hari. Mak juga tahu itulah orang yang ciri-cirinya selalu disebut-sebut Alia sebagai ciri-ciri pasangan idamannya. Tetapi lebih dari itu, Mak tahu memujuk anak gadis manjanya itu.
“Tengok apa, Alia kau ni dari tadi senyap saja” Sakeenah bersuara, setelah dari tadi memandu tanpa apa-apa bunyi sebagai latar belakang.
“Tengok jalan raya lah. Kinah tiap-tiap minggu kau ‘drive’, aku tak pernah hafal pun jalan nak pergi pondok ni. Nanti kalau kau tak ada pergi mana-mana ke, aku nak pergi sendiri mesti aku tak reti.Aku kalau tak drive sendiri memang tak boleh ingat jalan lah jawabnya” kata Alia.
“Kau drive la pulak minggu depan, baru kau ingat, elok la takda la kau berangan ja. Aku saja la drive sebab mengingatkan kau dah penat naik bas express tiap-tiap petang jumaat. Rushing terus lepas balik kerja. Jihad tu!” ujar Sakeenah tersengih sendiri tanpa memandang Alia.
Alia cuma ketawa kecil.
Tatkala papan tanda yang tertulis An-Nahdhoh di tepi jalan raya yang berdebu itu kelihatan, Sakeenah pantas membelok Myvi kelabunya ke kiri menelusuri lorong-lorong kecil lagi sempit. Siapa yang tidak pernah ke sini, pasti tidak akan menyangka di sebalik rumah-rumah kampung yang berselirat, jalan kecil yang semakin dimamah kerosakan, tersembunyi mahligai indah, syurga para ahli pencinta ilmu, iaitu sebuah pondok tahfiz moden
Walaupun ini pusat pengajian formal, tapi hari Sabtu hari pengajian untuk umum, kuliah mingguan kitab tafsir dan kitab ibadah dan kerana inilah setiap Sabtu, Alia dan Sakeenah akan berkelana dari rumah ibu bapa mereka di Sungai Petani hampir ke hujung peta di Pulau Pinang untuk mengisi hati dengan ilmu. Mahu jadi secerdik Aisyah, bidadari kesayangan hati Nabi!
Hari itu, pengajian masih berkisar tentang tafsiran surah Ali-Imran pada bahagian Perang Uhud. Perang yang pada awalnya kelihatan seperti kalah, tetapi akhirnya menang juga walaupun banyak yang terkorban. Sungguh, pengajian tentang perang Uhud adalah satu bab pembelajaran yang sangat meruntun jiwa kerana terlalu banyak pengajaran yang dalam di pelajari dari situ.
Namun hari itu, yang tertancap kuat di hati Alia ialah, jangan berputus asa dengan rahmat Allah, jangan lemah, perjuangan harus diteruskan tidak kira apa yang terjadi kerana sesungguhnya Allah sekarang cuma mahu menguji setakat mana imanmu. Persoalannya jika Allah menghilangkan salah satu pasak kebanggaanmu, pasak yang menjadi menara kotamu adakah kau akan runtuh, berundur, berpaling atau jatuh atau apakah kau mahu meneladani Nabi, yang terus yakin, sepenuh jiwa menjadi orang beriman yang sedar tidak kira apa berlaku, Allah ada untukmu, selagi kau junjung agamanya yang tinggikan kalimahnya.
“Dan jangan kamu (merasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman” (139:3)
No comments:
Post a Comment