Petang itu hujan lebat membasahi bumi Kuala Lumpur. Alia masih termanggu-manggu kegelisahan melihat jam yang sudah semakin pantas meninggalkannya. Sudah dekat pukul 6. Hari ini dia ke fakulti dengan kereta Ruqaiya.Minggu ni giliran kereta Ruqaiya untuk membawa mereka ke tempat kerja. Lebih menjimatkan kos, juga menyumbang sedikit sebanyak bagi mengurangkan kesesakan baik di dalam UM ataupun di tengah bandaraya, apabila mereka beransur pulang nanti. Sudah hampir 3 tahun tahun dia bekerja di sini di fakulti Sains.
Di luar jendela, Alia memerhati anak-anak muda mahasiswa berlainan jantina berpasang-pasangan berpayungan. Ada yang berpayung menuju kenderaan. Sesekali tertawa manja bertepuk tampar seakan-akan tiada apa. Ada yang lebih ‘indah’, terus berpayungan sehingga di bangunan kolej kediaman. Melepaskan sang kekasih di persimpangan jalan, ada riak-riak resah di wajah mereka. Barangkali berat berjauhan dengan si cinta hati. Lantas lambaian lembut sarat berisi cinta dilepaskan bebas diudara. Sang dara tersenyum manja membalas lambaian mesra si teruna. Jiwa seharusnya ketika ini berbunga-bunga. Kembang mengisi kapilari darah yang mengembang dan menguncup. Belum mahu bergerak, biar kaku, biar saat ini terakam dalam bayangan perasaan, biar ia terbuai buat bekal mengingati si cinta bila jauh bersendiri. Biar bayang-bayang si puteri hilang, benar-benar ghaib dari pandangan barulah hati di putera terasa terpanggil pergi. Lalu si lelaki melangkah longlai, pulang menuju kolej kediamannya. Oh tapi hati, penuh, dilimpahi cinta. Lantas dia tersenyum mengatur langkah sarat dengan jiwa yang parah. Romantis bukan?
Romantis begini diambil dari kitab mana ya? Kitab buku-buku novel cinta yang ditulis manusia. Persoalannya apa benar manusia-manusia yang menulis ‘kitab cinta’ buat rujukan manusia lain betul-betul faham erti cinta? Benarkah itu cinta? Segala perasaan menggila yang merenggut segenap penjuru perasaan yang ada? Cinta itu apa? Ketenangan? Entah. Yang pasti, dia sangat yakin, bukan seperti apa yang baru disaksikannya!
Di saat-saat ini dia teringat kata-kata Kak Nasuha ketika ditanya apa perasaannya menikah dengan orang yang berbadan gempal, berkulit gelap dan rendah darinya, Abang Fauzy. Bukan niat hendak merendahkan fizikal lelaki itu tetapi, memang tidak pelik keputusan Kak Nasuha menikahinya dipersoalkan, sebabnya Kak Nasuha itu cantik betul. Cantik sangat rasanya, wajahnya bersih, hish setenang air di kali orang Melayu cakap, percakapannya halus, di hadapan lelaki tak berbunyi terus. Jalannya sentiasa merendah, sedikit menunduk, sopan tetapi tidak melintok liuk, tak pernah pula sengaja mempamer-pamerkan diri tetapi harumnya bunga disimpan-simpan tercium juga. Sekali pandang asyik nak pandang lagi, itu baru pandangan perempuan. Kalau lelaki entah lah!
Teringat satu ketika Kak Nasuha menerima surat layang menyuruhnya memakai purdah, dari lelaki sekuliah. Kuat juga iman Kak Nasuha kalau difikir-fikir kerana tak pernah pula dia melayan sesiapapun. Kejutan bagi semua rakan-rakan serta adik-adik junior ketika diberitahu dia akan bernikah dengan Abang Fauzy mahasiswa Phd Mathematik. Iya lah kewarakkannya, dan kecerlangannya di bidang akademik tidak dipertikaikan tetapi ada saja pinangan lain rasanya setaraf dari segi warak dan akademik tetapi lebih ‘menjamu mata’ contohnya Harun Ar-Rasyid, pelajar Master Chemical Engineering yang aktif berpersatuan, Saiful Haqq anak Professor Halim, Dekan Fakulti kami. Kalau tak pinang pun risikan lain, contohnya Si Yusuf Qardawi, fakulti Kimia, Syed Hassan Al-Jefri, Fakulti Undang-Undang, Tan Hee Chul tau nama Islamnya Ahmad Yassin lelaki Vietnam yang berkelana mencari ilmu di Malaysia juga tidak ketinggalan menghantar risikan. Siapa lagi ya, haa Muneer Mazlan, lelaki playboy berfizikal gaya ustaz juga tersenarai, Oh ya Si Muhammad Abduh! Rakan sekelas Kak Nasuha yang akhirnya diketahui sebagai penghantar surat misteri menyuruh berpurdah kerana terlepas cakap kepada sepupu si Husna. Siapa lagi ya, ramai sungguh, ops! Ini semua aku ketahui daripada mulut rakan sebilikku ketika itu, Husna yang rapat mendengar kisah-kisah Kak Nasuha daripada kakak angkatnya Kak Ummi Kalsum, kawan baik Kak Nasuha. Itu baru senarai yang diketahui umum, belum lagi yang cinta dalam hati, baru memasang angan-angan atau masih berfikir-fikir. Pokoknya memang banyak yang menepuk dahi tatkala kad kahwin Kak Nasuha dengan Abang Fauzy tersebar, entah berapa yang menangis di bantal atau bermimpi bukan-bukan di malam hari itu atau terhiris hati. Tetapi itu bukan soalnya kerana bagi Kak Nasuha, dia yakin sekali Abang Fauzy jodohnya. Keyakinan seperti inilah yang membuat kami mengagumi dia.
Kata Kak Nasuha “Sebagai manusia kita semua pening mencari-cari erti cinta pada hakikatnya. Nah di sini datangnya Rasulullah merungkai keserabutan, kepayahan dan kesesakan hati kita dalam menafsir perkataan cinta. Kerana jika kita sendiri mahu mendefinikan cinta, nescaya tidak berdaya, kerana ianya terlalu agung. Lalu diberi juga jawapan supaya kita belajar bercinta dari Sang Pencipta sendiri. Biar Yang Lebih Tahu segala rahsia lekuk, celahan, rekahan hati yang mengajari yang memberi definisi.“Katakanlah (Muhammad) “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang “ –(3:31) . Dan Abang Fauzy datang dengan cara paling tepat berbekalkan agama dan akhlak yang mantap. Itu semua bulat mengikut tekapan model cinta yang diajari Rasulullah.”
Terpegun juga kami mendengarnya. Rakanku Husna sampai ternganga menata cerita Kak Nasuha, barangkali teringat kisah-kisah zaman Rasulullah yang hubungan hablumminannas-nya tulus kerana Islam dan tidak berpaksikan rupa. Subhanallah. Menurut Kak Nasuha juga, lagi pula, ketika melihat wajah Abang Fauzy pada pertemuan pertama di rumah Kak Nasuha ketika meminangnya, ditemukan ketenangan dan keredupan dari tompokan gelap kulitnya. Baginya wajah itu tidak ada cacat celanya, sangat bercahaya. Aku lihat ketika itu Husna sahabatku terkekeh, mungkin kerana dia sedang memikirkan kejernihan hati Kak Nasuha dalam melihat keindahan ciptaan Allah berbekalkan suluhan iman. Aku tahu dia sedang membandingkan kejernihannya hatinya dengan Kak Nasuha. Katanya perlahan ke telingaku jika, dia, pasti sahaja memerlukan ‘torch light’ buat tolong suluh untuk sampai melihat keindahan Abang Fauzy. Nakal Husna ni. Aku cuma mencubitnya agar dia tidak lagi memberi komentar bukan-bukan.
Ketika aku mendengar kata-kata Kak Nasuha, aku, Husna, Zulaika dan Farah masih budak hingusan, budak sekolah baru terlepas dari pagarnya. Kira-kira umur ,kami 18 tahun, iaitu ketika kami mula-mula menjejak kaki ke Pasum, matrikulasi UM. Aku faham kenapa Farah dan Zulaika turut menahan tawa ketika mendengar cerita polos Kak Nasuha. Belum pernah terlintas di benak mereka cerita sedemikian rupa. Bagaimana gelap dikata cahaya? Bagaimana yang orang lain rasa jelek dipandang tak apa.
Kak Nasuha hari ini membawa satu santapan rohani berresepi asing buat mereka. Aku pula, ini bukan yang pertama, kerana Abang Achik sendiri, Along yang badannya sangat gempal beristeri cantik bak bidadari turut bernikah di bawah cara berkonsep Islami sedemikian. Dan bila di tanya, ceritanya juga lebih kurang begini. Tetapi setakat itu sahaja. Mungkin kerana aku selalu mendengar ini daripada pandangan adik ipar lelaki yang bertuah beristerikan perempuan cantik tetapi hari ini, lain rasanya mendengar kisah ini daripada pandangan si perempuan itu sendiri. Lebih ‘real’ dan ‘berat’ jika tiada kekuatan jiwa. Malah bukan calang-calang orang boleh melakukannya. Aku yakin iman juga harus mantap dalam menjadi manusia seyakin ini!
Lagi pula ketika itu jiwa aku masih ada sedikit coretan-coretan kisah cinta monyet rakan-rakan yang disaksikannya di zaman sekolah sungguhpun aku tidak terlibat sama, jadi apa yang aku dengar kubiarkan sahaja. Namun pertemuan kerap dengan Kak Nasuha, fasilitator Kerohanian pada malam orientasi, merangkap pelajar tahun akhir di situ sedikit sebanyak menjadi titik tolak aku mencuci hati dari segala kesalah-fahaman aku tentang agama dan seterusnya memantapkan apa yang sedia kufahami.
Daripada pertemuan pertama Alia, Husna, Zulaika dan Farah dengan Kak Nasuha dan rakan-rakannya yang lain yang mana semuanya baik-baik, mereka seperti bertemu tempat berteduh yang lama dicari-cari daripada insan bergelar kakak. Dari situ mereka mengenal majlis ilmu, menjadi wajah-wajah lazim aktiviti berorientasikan agama dan lain-lain yang selari dengannya. Kak Nasuha juga pandai mengatur pertalian, jadinya walaupun setelah dia habis belajar di situ, kami tetap diamanahkan kepada kakak senior lain yang tak kurang baiknya di situ agar sentiasa berada di dalam ukhwah dan selesa berhalaqah.Cara ini sungguh berkesan kerana kami menemukan kasih sejati dalam dakapan ukhwah sesama sendiri. Semua masalah dikongsi dan senang di rasai bersama.
Akhirnya alih-alih kami sendiri bertindak seperti Kak Nasuha ketika adik-adik di tahun seterusnya datang menghuni ‘rumah UM’ tercinta. Namun Universiti Malaya sememangnya pusat ilmu yang menjadi inti darah dagingnya. Boleh dikatakan Alia yang hari ini, adalah hasil tarbiah berkelana di UM lah. Sebab itulah, daripada awal dulu, dia tidak pernah terfikir akan tempat lain untuk menabur budi, mencari rezeki selain di ‘bumi’ ini.
Hmmm rindu pula pada Kak Nasuha. Apa khabar dia agaknya
.
Di dalam rintikan hujan dan kereta yang merangkak-rangkak ibarat semua di luar cermin tingkap cube-nya, Alia nampak kereta Persona, Ruqaiya mengensot perlahan-lahan mengharung bonggol-bonggol jalan mendekati persimpangan fakulti. Lafaz hamdallah dilepaskan sambil melihat muka jam yang kini sudah mendekati pukul 7 malam. Dengan cepat Alia mengutip barang-barangnya yang berselerakan di atas meja tulis dan dengan pantas dia menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Sesampainya dia dibawah dia melalukan kad elektroniknya di mesin kedatangan sebelum keluar daripada bangunan. Ketika itu Ruqaiya sudah hampir sampai betul-betul di depannya.
“Assalamualaikum!” ujar Alia pendek sambil masuk ke dalam kereta.
“Waalaikumsalam, sori lambat Alia. Saya terlekat dalam jam lah tadi ada accident” ujar Ruqaiya
“Takpa la Uya! Eh kita nak balik rumah dulu ke macam mana ni? Nak maghrib di mana. Dah lewatlah”
Ruqaiya melihat jam di tangannya seraya dia terus membelok ke Jalan Melati, menuju ke Rumah Seri Impian dengan niat membayar janji yang telah mereka setujui, bukan semalam, tetapi sejak 3 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment