Tuesday, 1 November 2011

Tidak Sesoleh Solehuddin [Chapter 5] - Bulu Mata Dinasour

“Tak ada yang lebih jernih dari suara hati, ketika ia menegur kita tanpa suara.Tak ada yang lebih jujur dari nurani di saat ia menyadarkan kita tanpa kata-kata” Salim A. Fillah

Pagi itu mereka bertiga keluar awal dari rumah kerana Alia mahu ke Kompleks Kailan membeli tudung sebelum berkelana pulang ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspress. Achik memandu kereta Wira gangsa arwah ayah Alia di hadapan dengan Mak dan Alia membatu di tempat duduk belakang seperti biasa, berangan-angan kisah-kisah kompleks yang berlaku di dalam hidupnya sambil memerhatikan pekan kecil Kepala Batas. Senyap-senyap dia mengira-ngira warna tudung dan bilangan tudung yang dirancang hendak dibelinya.

Hari ini, rencana mereka agak panjang. Mujurlah Achik yang bekerja di Bank Islam memang tak bekerja pada hari Ahad, boleh lah tolong menghantar Alia dan ibunya ke sana ke mari. Tetapi rutinnya sememangnya hampir selalu begitu setiap minggu. Ada sahaja barang yang terlintas hendak di beli sebelum pulang ke Kuala Lumpur, seakan-akan semua barang kena dicari di kampung halaman juga. Sejujurnya Alia lebih selesa, keluar bertemankan ibu dan Achik, lebih selamat; daripada bersesak-sesak seorang diri atau hanya dengan Ruqaiya, rakan sekerja merangkap house-matenya di sekitar Kuala Lumpur.

“Alia nak beli lima tudung!”tiba-tiba dia terjerit kecil dari belakang.

“Banyaknyaa! Nak buat berniaga ke apa tu?” Achik memuncungkan mulutnya dari hadapan. Mak cuma mendengar ‘adik-beradik’ palsu mula berceloteh.

“Hihi apa la Achik, kalau nak berniaga Alia beli seratus terus!!!” Alia masih leka membilang-bilang dengan jemarinya tudung-tudung yang sedang rancak menayangkan ‘slideshow’ di fikirannya. Umpama ‘slideshow’ yang sedikit rosak, terkadang tudung berwarna sama terulang-ulang pula.

“Itu lagi mengarut! ” Achik membelok kiri ke Kompleks Kailan apabila mendekati bangunan 4 tingkat itu sambil tergelak kecil mendengar nombor seratus itu disebut seumpama sedang bercerita tentang angka sa.

“Alia nak beli untuk kawan dekat tempat kerja lah. Dia pun teringin nak pakai tudung bawal size ni tapi susah nak jumpa di Jalan TAR, selalu tudung kecil-kecil dan kontot-kontot saja yang ada” tegas Alia.

“Hah??Tudung bawal tu apa?” tanya Achik.

“Ishk kamu ni Achik macam ni ni namanya tudung bawal lah. Takkan tak tahu” Mak yang dari tadinya diam sudah membuka mulut menarik-narik hujung tudungnya nak dijadikan contoh kepada Achik. Pening kepala agaknya mendengar ‘budak-budak’ dua orang bercerita.

“Mana Achik tahu. Kan adik beradik Achik semua lelaki, Mak Usu pun, Alia ni sajalah kawan Achik yang perempuan, tak ada siapa pun kawan perempuan mana-mana nak ajar Achik tudung bawal yang mana tudung keli, siakap yang mana… ” ujar Achik mematikan enjin. Sengaja di buat nada-nada soleh lagi berbunyi alim supaya Alia sakit hati dengan kata-katanya.

“Eleh, mak tengok Achik buat-buat innocent,di bank tu berlambak kawan perempuan agaknya! ”

“Eh betul lah! Alia nih, di bank kalau kena bercakap pun pasal kerja sahajalah, mana ada saja-saja nak bergossip tak tentu hala pasal jenis tudung, Tak seswaii~haha!!” kata Achik tersengih membetulkan-betulkan kopiahnya yang senget sebelum keluar daripada perut kereta.

Achik masih sama macam di zaman Universiti lah! Terjaga! Alia tersenyum sendiri.

“Sudah-sudah tu. Turun kereta. Jom. Nanti bergaduh dalam kereta, lambat beli tudung, lambat pergi Tesco, kena tinggal bas pastu mula lah jadi macam-macam..Sudahh..JOM!!!!” kuasa veto Mak ternyata melemahkan watak-watak dinasour kecil dua ekor yang baru mula hendak menunjukkan taring dan tanduk masing-masing. Anak-anak dinasour yang mulanya lain rona air muka tiba-tiba bertukar identiti menyarung topeng manja dan patuh. Dengan pantas mereka menurut perintah dan sekelip mata sudah berada di luar kereta memimpin tangan Mak yang sudah berkedut keuzuran melintas jalan.

Ah pemandangan yang indah! Dinasour soleh dan solehah barangkali!
……........

Selesai memborong tudung, mereka bergerak balik ke Sungai Petani. Achiklah yang paling beriya mahu singgah di tesco kerana katanya ada komponen computer yang nak diteliti harganya. Mak dan Alia hanya mengikut kehendak ‘driver’ tidak bertauliah itu. Lagipun kata Mak, elok juga jika singgah di situ supaya dapat Alia melapik perut dan menjamah apa-apa makanan sebelum jadi meloya di buat bas ekspress sekejap lagi kerana perut kosong.

Setelah ditinjau-tinjau di ‘food court’ ternyata, tidak ada yang membuka selera kecuali air coklat yang di letakkan ice-cream dan serbuk coklat, harga RM4.50. Okaylah tuu. Achik pula, setelah meninggalkan Alia dengan Mak di ‘food court’ ghaib di sebalik manusia-manusia yang giat berjual-beli. Pantas!

Mak dari tadi hanya menghenyakkan diri di atas kerusi ‘food court’ keletihan. Mak dah tua, tahun ni usia Mak dah 68 tahun, kata Mak yang menguatkan Mak untuk mengharung lautan manusia ke tempat-tempat yang langsung tak sesuai untuk orang seusia dengannya hanyalah Alia. Sayang betul Mak dengan Alia, anak bongsu Mak. Sebetulnya boleh saja, Mak lepaskan Achik atau mungkin Sakeenah sahaja yang menghantar Alia atau meneman Alia membeli barang-barang keperluan. Tapi Mak mahu meneman dan bersama-sama anak bujangnya se-selalu mungkin. Rindu katanya seminggu berjauhan.

Abang Rasyid Ridha dan isteri, Kak Rabiah jarang pulang sebab mereka berkampung di Pahang. Tambahan pula anak-anak dah besar-besar, Qayyum, Rahmah, Mustafa dan Adli jadi untuk pulang ke kampung sahaja sudah menggamit kerjasama, penyatuan cuti dan pengorbanan kesemua anak-isteri yang berbeza-beza jalan komitmen. Kak Mastura pula tenggelam timbul sesuka hati mengikut cuti abang Firman sebagai bekerja sebagai tenaga pengajar di Unimas. Kalau tiba-tiba berkursus muncullah di rumah, kalau tidak memang tak nampak batang hiudnglah. Jadinya Alia sahajalah masih setia menjadi buah hati pengarang jantung Mak setelah Ayah tak ada. Sebab itu, untuk Alia, Mak gagahkan diri.

‘Mak Alia nak pergi Popular sekejap, nak beli buku. Mak tunggu sini sekejap saja ya. Itu Popular depan ni saja Mak. Mak tak larat kan? Rasanya Achik ada dalam situ jugak. Nanti Alia panggil dia sekali’

‘ Okey, Lia belikan Mak buku amalan sunat bulan Rejab sama, carilah mana-mana yang tak kecik sangat tulisannya’
…………………

Solehuddin merayau-rayau tanpa arah meneliti rak-rak tidak bernyawa itu. Buku-buku yang berwarna-warni di pandang kosong. Bukan minatnya. Membaca majalah bolehlah mengenai Superbike, gadget, atau technology baru, nak baca buku cerita, sajian berat sang pemikir? Bak kata Ustaz Kazim ‘Taubatt la Homm!!!’

Melihat buku-buku membibitkan sesak di dada dan meletihkan minda. Tidak semena-mena rasa terpanggil pula rindu pada PS3 di rumah bujangnya. Oh terbayang-bayang gambaran manusia berlari sambil dikejar penembak cekap. Nak balik rumah cepat! Berjihad di alam maya!

Pappp!!! Buku di tangan seorang gadis terjatuh ke lantai. Gadis berkurung putih berbunga halus dan bertudung ungu muda itu bingkas duduk mengutip buku. Cepat-cepat dia menyapu-nyapu permukaan kulit buku itu dengan tapak tangannya, takut kotor agaknya.

Solehuddin yang dari tadi hanya bermain-main menyelak-nyelak buku yang tidak terliur di hati hendak dibacanya, separuh menoleh melihat si penjatuh buku. Wajahnya tidak kelihatan, dan tak penting pun. Gadis itu masih tunduk tetapi…dari pandangan separanya, Solehuddin tiba-tiba terhenti. Ada sesuatu yang kini mematri pandangan itu daripada beralih. Yang pasti, dalam kecamukan hati dan kepantasan nano-saat,hatinya telah bulat berkeputusan untuk menunggu wajah itu mengangkat dagunya.

Yang terkait kemas, melilit pandangan Solehuddin dan yang membisik di hatinya agar dia menunggu adalah……..bulu mata si penjatuh buku!! Ya bulu mata!

“Ya Allah hitamnya bulu mata, panjangnya macam penyapuuu!” detik hati kecilnya.

Serta-merta Solehuddin berpura-pura berganjak ke tepi rak agar terlindung dirinya disebalik buku-buku. Iya lah nak tengok orang mana boleh depan-depan, tak macho lah jatuh ego, kena sipi-sipi sahaja gayanya, mat rempit sahaja tengok directly sambil cakap “Hai Kak Long…bley berkenalan? Assalamualaikumm,..haa jawab gatal tak jawab berdosa” tak ke confusing tu?

Kalau di dalam filem akan ada babak-babak yang dirasakan kacau daun atau ‘bikin geram’, anti-climax atau pemati mood. Contohnya ketika hantu Pontianak yang rambutnya mengerbang menggila mengejar anak dan ibu, tatkala mereka hampir-hampir berjaya melarikan diri mendekati cahaya matahari, anaknya tiba-tiba berkata ‘Mak, Amin nak kencing, sekarang jugak jugak’, atau pun babak, pencuri sedang cuba sedaya upaya melepaskan diri dari kawalan polis, mereka hampir terlepas daripada kejadian yang mendebarkan itu, pencuri tu tiba-tiba tersepak tin kosong yang tadinya dibuat isi batu oleh sang polis, kita sebagai penonton akan merasa sangat tertekan dan mungkin sahaja ada yang akan menjerit ‘Arrrghhhhhh hampeh’ walhal kita sepatutnya berkomplot menyokong polis, disebabkan mereka adalah antagonis cerita yakni geng baik, geng hero, ini tidak, tiba-tiba sahaja perasaan pencuri mekar mengembang di dalam dada. Maksudnya kita sedang mendalami hati si pencuri!! Persis!! Mendalami mende nye?

Ini lah yang terjadi kepada Solehuddin, baru beberapa saat dia teruja dengan bulu mata lebat si penjatuh buku, watak jahat muncul dan memijak-mijak dan mematikan angan-angannya yang tadi terbang tinggi menari-nari di awan harapan. Tetapi Solehuddin sendiri kurang pasti apakah benar dia antagonis kisah ini atau protagonist yang tertipu dengan niat di hati sendiri. Apa-apa sajalah!

“Laaaaaahhh Pak aji mana pulakk niiiii menggatal kat siniii. Ah bodoh..” meleret gumaman Solehuddin semunculnya protagonist berwajah bersih itu. Solehuddin masih terus berpura-pura menggerakkan anak mata berlari-lari disekitar buku yang tidak lekat dikepala mindanya itu di saat lelaki berkopiah muncul tiba-tiba berbicara sesuatu dengan si bulu mata lebat. Di kala itu tiba-tiba si bulu mata lebat memukul perlahan lelaki protagonist berkopiah dengan buku tadi sambil berkata sesuatu dan ketawa kecil.

‘Hampeh’ bisik hatinya…tapi

Masya Allah, manisnya tenangnya wajah…..isteri orang! Sekilas Solehuddin terus berlalu dan berjalan-jalan ke lorong lain jauh daripada aksi manja suami isteri pukul memukul.

Digelengnya kepala perlahan, mungkin tertanya-tanya apakah yang merasuk mindanya tadi, ‘Mengarutnya, what the heck, bodoh betul.’ Tiba-tiba dia terasa bodoh dengan perbuatannya tadi. Ini mesti tempias kenduri Black tadi. Kena minum air Yasiin balik rumah ni agaknya. Pak Andak pantas didekati dan diajak cepat keluar dari situ.

“Dah beli belum, jomlah cepat, aku sakit perut ni. Kang melabur kat sini naya je.” Ntah kenapa dia menipu. Yang pasti hatinya meronta-ronta mahu pulang ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Di saat itu dia teringat babak filem KL Menjerit ketika Rosyam Nor menjerit ‘Kuala Lumpur aku aku cabar kauuuuuu’ sambil bergaya di atas motor rempitnya~ parah kau Soleh suungguh parah!

Lambat dia menyedarinya, tapi sebenarnya hari itu dia telah disihir bulu mata seekor dinasour!!!!

No comments:

Post a Comment